Gantung pemilihan Julau hingga selesai siasatan SPRM, kata pimpinan PKR


Nabihah Hamid

Banyak pihak mendesak pemilihan di Julau, Sarawak digantung kerana senarai pemilih yang diragui dan dipertikaikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2018.

PEMILIHAN PKR bagi cabang Julau di Sarawak Sabtu ini perlu digantung susulan kontroversi berhubung pertambahan mendadak ahlinya, yang kini sedang disiasat agensi anti rasuah, kata beberapa pimpinan parti itu.

Mereka mahu cabang yang ahli pada asalnya berjumlah 635 orang bertambah sebanyak 2000% kepada 13,617 ahli itu dikecualikan daripada terlibat dalam pemilihan sehingga siasatan pihak berkuasa selesai.

Calon ketua Wanita PKR, Haniza Talha berkata pemilihan di Julau perlu digantung kerana senarai pemilih yang diragui dan dipertikaikan banyak pihak.

“Seharusnya digantung kerana beri kesan buruk. Pendaftaran beribu-ribu itu juga dipersoal sebab terlampau ramai. Masa bila mereka lulus,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengumumkan pemilihan Julau akan diteruskan, dengan tiga pusat pengundian dibuka pada Sabtu.

Pemilihan itu serentak dengan 21 cabang lain di Sarawak sementara 8 cabang memilih pada Ahad. Dua cabang iaitu Igan dan Tanjung Manis tidak mengundi.

Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam tadi turut mengesahkan tiada sebarang keraguan pada senarai keahlian parti di Julau kerana pertambahan ahlinya dibuat mengikut prosedur.

Beberapa pemimpin lain juga menyokong gesaan menggantung pemilihan parti itu.

“SPRM sudah masuk pejabat PKR. Itu bermakna ada kes kukuh untuk mereka melakukan siasatan. Sepatutnya Julau perlu digantung pemilihan cabang. Ia sepatutnya ditunda sehingga siasatan selesai.

“Maka pemilihan tidak wajar diteruskan kerana ada percanggahan maklumat. JPP perlu hentikan pemilihan Julau yang berada di tengah-tengah kemelut yang masih tidak selesai,” kata Saifuddin Shafi, ketua Pemuda Cabang Hulu Selangor.

Calon ahli Majlis Tertinggi parti Razlan Jalaluddin juga senada dalam hal itu.

Calon ketua Wanita Haniza Talha menggesa pemilihan cabang Julau digantung kerana ia memberi kesan buruk kepada parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2018.

Sementara itu, seorang lagi calon majlis Syarul Ema atau blogger Ratu Naga berkata penggantungan cabang tersebut tidak akan memberi kesan kepada pemilihan parti.

“Elok gantung sebab menimbulkan kontroversi dan ada penangkapan melibatkan orang PKR. Sepatutnya selesaikan dahulu masalah. Setakat satu cabang tidak beri kesan kepada parti,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Tian Chua meminta seluruh anggota bertenang dan meneruskan pemilihan yang kini memasuki fasa akhir.

“Saya rasa memang cabang Julau ada masalah keanggotaan tetapi bagi saya lebih penting kita habiskan 15% pemilihan.

“Tak usah terlalu agresif di hujung minggu ini. Suasana ini harus dijalankan secara aman dan tenang. Kita satu keluarga,” katanya lagi.

Sebagai sebahagian daripada siasatan SPRM berhubung perkara itu, dua kakitangan PKR, ketua pendaftaran keahlian di ibu pejabat PKR dan kakitangan pusat perkhidmatan Julau, ditahan untuk disoal siasat. – 8 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen