POLIS sudah menyoal siasat ahli perniagaan Deepak Jaikishan berkaitan dakwaanya yang bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan mengambil keterangan lebih ramai orang untuk menyiapkan siasatan semula kes pembunuhan yang berlaku pada 2006 itu.
“Kami sudah ambil keterangannya dan kami akan ambil banyak lagi keterangan daripada mereka yang kami percaya terlibat,” kata Fuzi.
Sebuah rakaman video baru-baru ini tersebar di media sosial mengenai belakang tabir sebuah wawancara Deepak bersama sebuah organisasi media.
Dalam wawancara itu, ahli perniagaan itu membuat beberapa tuduhan mengaitkan Najib dan Rosmah dengan kes bunuh Altantuya.
Tidak dapat dipastikan sama ada wawancara itu pernah disiarkan, tetapi rakamannya sudah tular di media sosial.
Altantuya dikatakan terlibat dalam perjanjian membeli dua buah kapal selam Scorpene untuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Deepak pula dipercayai pernah berhubungan rapat dengan Najib dan Rosmah.
Jun lalu, polis mengesahkan mereka akan membuka semula kertas siasatan kes bunuh itu.
Pada Julai pula, Fuzi berkata siasatan semula sudah siap dan kertas siasatan sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
Dakwaan terbaru Deepak nampaknya membuatkan polis bertindak selepas gesaan sama dibuat beberapa wakil rakyat.
September lalu, Deepak berkata beliau mempunyai bukti audio dan video bahawa peguam Muhammad Shafee Abdullah dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menghalangnya memberi keterangan dalam saman penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
Balasubramaniam pernah membuat Pengakuan Bersumpah yang ditarik balik mengaitkan Najib dan pembunuhan Altantuya. – 1 November, 2018.
Komen