Polis akan buka semula kertas siasatan kes bunuh Altantuya


Muzliza Mustafa

Bapa Altantuya, Setev Shaariibuu pada 20 Jun membuat laporan polis terbaru, berkata Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar tidak ada motif untuk membunuh anaknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2018.

POLIS akan membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan Altantunya Shaariibuu untuk melihat apa yang mungkin mereka terlepas pandang pada masa lalu dan akan meneruskan siasatan jika perlu, kata timbalan ketua polis negara.

Noor Rashid Ibrahim hari ini berkata kes itu sudah pun dibicarakan dan keputusan mahkamah sudah didengar.

“Jadi kami perlu mengkaji semula kertas siasatan dan melihat jika ada tuduhan baharu dan memeriksa bukti baharu serta melihat jika ada asas tuduhan berkenaan,” katanya.

Noor Rashid berkata hanya selepas itu polis dapat meneruskan dengan siasatan itu dengan memanggil senarai saksi dalam kes berkenaan termasuk Musa Safri, bekas pegawai khas bekas kepada perdana menteri Najib Razak yang dinamakan dalam laporan polis terbaru dibuat oleh bapa Altantuya, Setev Shaariibuu pada 20 Jun.

“Kami akan panggil Musa jika ada keperluan.

Setev dalam laporannya berkata beliau percaya jika tidak kerana Musa, pembunuh yang disabitkan dalam kes itu, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar tidak akan datang ke rumah Razak pada hari itu dan melarikan anaknya.

“Maka Musa saksi yang sangat pening kerana dia dapat memberikan maklumat siapa yang mengarahkannya untuk Azilah dan Sirul datang ke situ,” kata Setev dalam laporannya.

Setev berkata Azilah dan Sirul tidak ada motif untuk membunuh Altantuya kerana kedua-duanya tidak pernah bertemu dengan mangsa sebelum itu.

“Mereka tidak kenal anak saya sebelum membunuhnya dan oleh itu mereka tidak ada motif. Sirul mendakwa dia menjadi kambing hitam dan baru-baru ini memberi bayangan tentang pembabitan orang lain dalam kes itu,” kata Setev.

Noor Rashid berkata pasukan penyiasat kes itu sebelum ini juga akan dipanggil sebagai sebahagian siasatan baharu dan polis akan mengkaji keperluan menubuhkan jawatankuasa memantau proses siasatan. – 24 Jun, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen