Buka kes Altantuya untuk tentukan kaitan skandal Scorpene, kata Kit Siang


Tempat pembunuhan Altantuya Shaaribuu yang mengejutkan masyarakat kerana pembunuhan itu menggunakan bom C4.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018.

VETERAN DAP Lim Kit Siang hari ini berkata pihak berkuasa perlu membuka semula siasatan kes bunuh penterjemah warga Mongolia Altantuya Shaaribuu bagi menentukan sama ada ia ada kaitan dengan skandal kapal selam Scorpene Perancis.

Altantuya dipercayai menjadi penterjemah dalam urusan pembelian dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah kapal selam kelas Agosta oleh Malaysia pada 2002 daripada unit tentera laut Perancis DCN bernilai hampir RM4.9 bilion.

Najib Razak adalah menteri pertahanan yang menyelia urusan itu ketika itu.

Perancis sudah melancarkan siasatan kepada beberapa individu yang terlibat dalam urus niaga itu atas dakwaan menerima suapan.

Susulan Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan berjanji akan menubuhkan pasukan tindak khas untuk meneliti dakwaan yang upah berlebihan dibayar kepada orang tengah urus niaga itu.

Mayat Altantuya ditemui diletupkan menggunakan bahan letupan gred tentera dalam hutan pada 2006. Dua anggota polis yang disabitkan membunuhnya kemudiannya mendakwa mereka hanyalah orang suruhan.

Dalam kenyataan hari ini, Lim mencabar Najib menyokongnya dalam mengusulkan di Parlimen supaya pihak berkuasa membuka semula siasatan berkaitan pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya.

Lim berkata kematian Altantuya sudah menjadi kes yang ditunggu-tunggu semua rakyat Malaysia dan pembuat dasar untuk dirungkai misterinya.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan memanggil Lim untuk keterangan susulan laporan polis dibuat pembantu Najib berkaitan dakwaan yang dilakukan Lim terhadap bekas perdana menteri itu.

“Apabila laporan dibuat, kami akan siasat kerana ia prosedur biasa. Kami akan ambil tindakan perlu,” katanya dipetik akhbar The Star.

Jumaat lalu, pembantu Najib sudah membuat laporan polis menggesa Lim dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan dakwaan mengaitkan ahli Parlimen Pekan itu dengan beberapa kes bunuh berprofil tinggi.

Kemelut terbuka antara Lim dan Najib bermula apabila Lim mendesak kerajaan mempertimbangkan siasatan semula kepada beberapa kes bunuh berprofil tinggi. – 14 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen