POLIS sudah menyiapkan siasatan terhadap kes kematian Altantuya Shaaribuu yang dibuka semula, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Ketika memberitahu pemberitahu pagi tadi, Fuzi berkata kertas siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.
“Siasatan sudah siap, dan kami juga telah merekod kenyataan saksi utama termasuk bapa Altantuya, Dr Setev Shaaribuu.
“Kertas siasatan sudah dikemukakan dan kami sedang menunggu tindakan seterusnya,” kata Fuzi.
Pada bulan lepas, Ramkarpal Singh yang bertindak sebagai peguam mewakili keluarga warga Mongolia itu dilaporkan telah menggesa polis dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuka semula kes pembunuhan itu.
Pada Mei, Setev bertemu Dr Mahathir bagi membincangkan hal tersebut. Beliau kemudiannya membuat laporan polis supaya kes itu dibuka semula.
Altantuya, 28, ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam, pada 2006.
Dipercayai mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan gred tentera C4.
Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri - yang pernah menjadi pengawal peribadi Najib - didapati bersalah kerana membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.
Sirul, yang melarikan diri dari Malaysia pada 2013, kini ditahan pihak berkuasa Australia. Azilah di Penjara Kajang. – 19 Julai, 2018.
Komen