GESAAN Pemuda Umno supaya Presiden parti Ahmad Zahid Hamidi bercuti rehat sementara kesnya di mahkamah selesai bukan keputusan peribadi, kata ketua sayap itu Asyraf Wajdi Dasuki.
Beliau menjelaskan, keputusan itu adalah konsensus mesyuarat exco Pemuda Umno yang dihadiri kepimpinan tertinggi pemuda parti itu, termasuk ketua-ketua Pemuda Umno negeri.
“Keputusan semalam, bukan keputusan saya seorang (tetapi) keputusan semua.
“Dan kita buat keputusan berlandaskan prinsip, bukannya sentimen atau kebencian. Jadi tiada masalah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Semalam, Pemuda Umno menggesa Zahid untuk mempertimbangkan bercuti susulan pendakwaan 45 kes terhadapnya di mahkamah.
“Tidak adil bebankan pesiden dengan sebegitu banyak pertuduhan dalam keadaan Umno perlu bergerak pantas dalam suasana politik yang berbeza hari ini,” kata Asyraf pada sidang media selepas mesyuarat bulanan exco pergerakan itu semalam.
Zahid bagaimanapun hari ini menegaskan tidak akan berundur daripada memimpin Umno malah akan terus menggalas tugas dan amanah yang diberikan kepadanya.
Ketika ditanya tentang kenyataan Zahid di Kuala Terengganu petang tadi itu, Asyraf enggan memberi sebarang komen.
Beliau bagaimanapun mengesahkan Zahid akan hadir ke pemukiman Pemuda Umno yang difahamkan diadakan di Janda Baik, selama dua hari bermula esok.

Cadangan Pemuda Umno semalam juga mendapat reaksi negatif hingga seolah-olah membayang ada keretakan dalam sayap itu dan Umno keseluruhannya.
Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid menggesa ahli sayapnya untuk memboikot permukiman esok sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap Zahid.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Noh Omar menyokong cadangan Pemuda Umno itu. Namun seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi, Lokman Noor Adam lebih awal mengecam Asyraf sehingga menggelar beliau bangsat.
“Saya nak tanya agenda siapa ni, Asyraf? Apa yang kamu fikir, apa yang kamu nampak?” tanya Lokman.
“Saya cabar kamu untuk letak jawatan dan buat pemilihan semula. Saya akan letak jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi dan saya akan lawan kamu sebagai ketua Pemuda Umno,” katanya lagi.
Mengenai kecaman Lokman, Asyraf sekali lagi enggan memberi sebarang komen.

Zahid hari ini memulakan siri jelajahnya ke seluruh negara, bermula di Terengganu,negeri yang terlepas sekali lagi kepada PAS pada pilihan raya umum yang lalu.
Selepas Terengganu, Zahid akan ke Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan minggu depan
Kedudukan Zahid sebagai presiden Umno jadi debat hangat selepas beliau berhadapan 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram.
Kesemua pertuduhan itu melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM114 juta, berkait dengan Yayasan Akalbudi yang beliau pengerusikan serta beberapa keputusan semasa menjadi Menteri Dalam Negeri ketika Barisan Nasional memerintah.
Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini berkata, Majlis Penasihat Presiden akan bermesyuarat untuk membincangkan kedudukan Zahid sebagai presiden parti. – 26 Oktober, 2018.
Komen