Majlis Penasihat Presiden akan bincang kedudukan Zahid, kata Ku Li


Noel Achariam

Majlis Penasihat Presiden akan bertemu untuk membincangkan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi, kata Pengerusinya Tengku Razaleigh Tengku Hamzah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Oktober, 2018.

MAJLIS Penasihat Presiden akan bermesyuarat untuk membincangkan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno yang mempengerusikan majlis itu berkata wujud desakan yang mahukan presiden itu bercuti.

“Saya baca akhbar dan blog yang menggesanya bercuti sehingga kes selesai, malah ada juga yang memintanya (Zahid) meletak jawatan sekarang.

“Ada pemimpin yang buat bising (gesa Zahid berundur) tetapi saya masih tak dengar apa-apa daripada akar umbi.

“(Tetapi) saya tak maksudkan apa-apa, saya cuma ahli biasa parti,” katanya selepas majlis pelancaran buku “The End of Umno?” di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu dibentuk selepas perhimpunan agung parti tahun lepas, mandatnya termasuklah menasihati presiden parti tentang pendirian dasar.

Zahid yang menjadi presiden parti selepas Umno kalah PRU14 kini berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah RM72 juta, 10 pertuduhan pecah amanah melibatkan RM20 juta dan lapan pertuduhan rasuah sebanyak RM21 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah untuk semua 45 pertuduhan tersebut, sekarang dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta.

Tengku Razaleigh melancarkan buku The End of Umno? Post GE14 Edition bersama penulis bersama buku itu Bridget Welsh di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 Oktober, 2018.

Apabila ditanya sekiranya Zahid perlu berundur, Ku Li berkata situasi itu tidak pernah diatur Perlembagaan parti.

“Saya tak berada dalam jawatankuasa eksekutif atau majlis tertinggi. Tetapi jika dia (Zahid) perlu berundur, perlu ada pemilihan semulalah.

“Sebelum ini kepercayaan kita adalah pemimpin parti perlu bercuti jika didakwa dengan kesalahan.

“Itu yang berlaku kepada bekas pemimpin Umno lain yang berdepan pertuduhan.”

Apabila ditanya sekiranya beliau akan kembali merebut jawatan presiden sekiranya ia dikosongkan, Ku Li berkata beliau sudah berusia 82 tahun dan mahu bersara.

“Ini penggal terakhir saya sebagai ahli Parlimen Gua Musang. Saya akan bersara.” – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen