LANGSUNG: 45 pertuduhan untuk Zahid


Alfian Z.M. Tahir Bede Hong

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan kepada penyokongnya yang berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Oktober, 2018.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 45 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mencecah RM114 juta. 

Zahid minta dibicarakan untuk 27 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla), 10 pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan lapan pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 24 akta sama.

Tiga pendaftar mahkamah mengambil masa 45 minit membacakan semua pertuduhan tersebut.

Zahid tiba sekitar jam 8.05 pagi menaiki sebuah Vellfire diiringi sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas timbalan perdana menteri itu tidak memakai pakaian lokap oren tetapi berkemeja batik oren.

Zahid ditahan semalam selepas enam kali hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk soal siasat.

Turut hadir di mahkamah memberikan sokongan kepada Zahid termasuklah bekas presiden Najib Razak, tetapi beredar sebelum semua pertuduhan kepada Zahid habis dibaca. 

“Saya hadir untuk beri sokongan kepada Zahid selaku rakan separti dan kawan,” katanya. 

Bekas menteri dalam negeri itu disiasat kerana rasuah berkaitan dengan yayasan diuruskan keluarganya, Yayasan Akal Budi.

Zahid adalah pengerusi yayasan itu.

Dilaporkan yang RM800,000 diseleweng daripada yayasan untuk membayar hutang kad kredit Zahid dan isterinya.

Isterinya, Hamidah Khamis dan anak perempuannya Nurulhidayah Ahmad Zahid turut hadir di galeri awam mahkamah. Turut kelihatan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Hampir 200 penyokong memegang sepanduk menyatakan sokongan kepada presiden Umno itu.

Gopal Sri Ram akan mengetuai pasukan pendakwaan bersama-sama Akram Garib dan tiga pendakwa raya lain, pasukan pembelaan diketuai Hisyam Teh Poh Teik.

Hakim Azura Alwi akan menghakimi prosiding.

The Malaysian Insight membawakan lintas langsung prosiding hari ini:

12:47 pm: Zahid meninggalkan kawasan mahkamah dan terus menuju ke pintu utama untuk bertemu penyokongnya. 

11:30 am: Kekecohan reda. 

11:15 am: Anak Zahid, Nurul Hidayah muncul menenangkan keadaan. Meminta khalayak bersurai dan beri kerjasama kepada polis. 

11:13 am: Penyokong Umno mula menjerit kepada satu sama lain. 

Mereka tidak berpuas hati dengan Lokman yang disifatkan “terlalu lembut” mengendalikan situasi sekarang. 

11:06 am: FRU menggesa penyokong Umno bersurai. Botol air dilontar kepada polis, tidak ada kecederaan. 

11:04 am: Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam cuba berunding supaya tiada penyokong Umno ditahan. 

11:02 am: Penyokong Umno menyekat kedua-dua pintu utama, mendesak pihak berkuasa membenarkan mereka masuk. Tolak menolak berlaku. 

10:56 am: Khalayak bertegas mahu masuk ke kawasan mahkamah, memaksa FRU bersiap sedia dengan pistol gas pemedih mata. 

Polis berunding dengan media dan pembantah. 

Penyokong Umno menyekat pintu masuk ke kawasan mahkamah, mendesak dibenarkan masuk. FRU bersiap sedia. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2018.

10:52 am: Di luar mahkamah, penyokong mula menjerit “kami nak masuk”. FRU diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. 

10:33 am: Sri Ram tidak membantah permohonan pendakwaan untuk menukar kes itu ke mahkamah tinggi.

Pendengaran kes ditetapkan pada 14 Disember. Perbicaraan ditangguh.

10:31 am: Hakim Azura membenarkan ikat jamin RM2 juta, dengan bayaran pertama sejuta perlu dibayar hari ini dan bakinya minggu depan. Zahid diarahkan menyerahkan pasportnya.

10:28 am: Hisyam membantah permohonan pihak pendakwa supaya Zahid menyerahkan pasportnya, berkata tertuduh tidak bersalah sehinggalah dibuktikan. Sri Ram menjawab duluan itu sudah ditetapkan dalam kes Najib dan Rosmah, di mana pasport mereka diserahkan.

10:21 am: Hisyam berkata duluan sudah ditetapkan dalam perbicaraan Najib dan isterinya Rosmah apabila bayaran ansuran dibenarkan.

Penyokong Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhimpun di luar pagar kawasan mahkamah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Oktober, 2018.

10:20 am: Gopal berkata beliau ditanya Badan Peguam mengenai bayaran ansuran ikat jamin tersebut. “Mengapa dia terima layanan berbeza? Sepatutnya tidak boleh ada pengecualian.”

Katanya, jika jumlah penuh tidak dibayar hari ini, Zahid perlu terus kekal ditahan.

“Kami memohon penolakan permohonan bayaran secara ansuran.”

10:18 am: Ketua Pendakwa Raya Gopal Sri Ram mencadangkan ikat jamin sebanyak RM2 juta. Hisyam berkata RM1 juta akan dibayar hari ini, baki sejuta lagi akan dibayar pada 2 November.

10:16 am: Zahid minta dibicarakan untuk 27 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Keseluruhan kertas pendakwaan mengandungi 45 pertuduhan jenayah itu mengambil masa 54 minit untuk dibaca tiga pendaftar mahkamah.

10:14 am: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan meninggalkan kawasan mahkamah.

 “Ahli Umno perlu bertenang. Kita percaya institusi kita dan saya percaya mereka akan menjalankan proses ini dengan adil. Kerana itulah Umno perlu terus bertenang.

“Umno bukan parti untuk mana-mana individu. Kita ada 3 juta ahli. Untuk kita terus kuat, kita tak boleh terganggu. Kita perlu terus fokus,” katanya kepada wartawan di lobi mahkamah. 

9:51 am: Di luar mahkamah pula, Najib meninggalkan kawasan mahkamah menggunakan kenderaan peribadinya. Beliau sempat bersalam dengan beberapa penyokong sebelum beredar. 

“Saya hadir untuk beri sokongan kepada Zahid selaku rakan separti dan kawan,” katanya. 

Bekas presiden Umno Najib Razak turut hadir di mahkamah memberikan sokongan kepada Zahid Hamidi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Oktober, 2018.

9:44 am: Pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram sedang dibaca.

9:42 am: Lapan belas pertuduhan dibacakan. Zahid mengaku tak bersalah dan minta dibicarakan untuk sepuluh pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan lapan pertuduhan korupsi di bawah Sekyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dibacakan sekali dengan Seksyen 24 akta sama berkaitan Yayasan Akal Budi mencecah RM42 juta. Zahid kelihatan sungul ketika pendaftar mahkamah membaca pertuduhan kepadanya. 

9:22 am: Pertuduhan mula dibaca. 

9:18 am: Mahkamah mula bersidang. Zahid dalam kandang tertuduh dengan tujuh pegawai SPRM dibelakangnya. 

9:15 am: Bekas presiden Umno Najib Razak tiba di mahkamah. 

9:05 am: Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Rahman dan Ketua Wanita Umno Dr Noraini Ahmad dilihat berada di galeri awam mahkamah. 

8:55 am: Jumlah penyokong Umno meningkat dan polis sudah mengerahkan Light Strike Force Unit FRU bersiap sedia.

8:45 am: Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam memberikan pilihan kepada polis; benarkan mereka masuk atau mereka akan bercakap guna pembesar suara di depan pagar kawasan mahkamah.

8:40 am: Polis melarang penyokong Umno memasuki kawasan mahkamah.

8:30 am: Hampir 200 penyokong Umno berkumpul di luar Komplekas Mahkamah Kuala Lumpur. Ada memegang plakad menyatakan sokongan terhadap Zahid. – 19 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Cuma Mohamad Hassan tang maseh waras dan berinsip........Lokman Adam memberi amaran samada membenarkan mereka masok atau menggunakan pembesar suara di luar!.........hmmmm...mengapa Polis lemah dan tidak menahan saja Lokman Adam yg memberi amaran kepada Polis....besar kepala pulak.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Azis Yusoff · Ulasan

  • Pemimpin ni Kaya Raya teramat...... yang di gunakan diperalatkan berkumpul tu... kebanyakan nya pokai... Sedar lah ... jangan digunakan Wahai Rakyat/Ahli UMNO ..

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan