PERPECAHAN mulai berlaku dalam Pemuda Umno apabila segelintir pemimpin akar umbi sayap itu membantah langkah dibuat kepimpinan tertinggi yang menggesa presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi bercuti sehingga 45 pertuduhan jenayah dihadapinya diselesaikan di mahkamah.
Ketua Pemuda Bahagian Sungai Besar, Kinabatangan dan Gopeng mengeluarkan kenyataan semalam, beberapa jam selepas Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan keputusan exco menggesa Zahid berehat daripada menjalankan tugas presiden.
Ketua Sungai Besar M. Imran Tamrin berkata beliau tidak bersetuju dengan langkah itu kerana Zahid tidak bersalah sehingga terbukti bersalah dan mendesak kepimpinan Pemuda mempertimbangkan semula pendiriannya.
“Penyiasatan dan dakwaan terhadap pemimpin Umno, termasuk Zahid dan Najib Razak, adalah bermotifkan politik. Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan undang-undang sebenar dan melakukan penindasan selektif.
“Sebagai parti pembangkang, kita perlu mempertahankan pemimpin kita,” kata Imran.
Ketua KInabatangan Naim Moktar juga tidak bersetuju, mengatakan tuduhan terhadap Zahid bertujuan untuk melemahkan kepimpinan Umno.
“Pemimpin kita di barisan hadapan adalah sasaran utama dan Pemuda Umno harus agresif dalam mempertahankan kepimpinan,” katanya.
Ketua Pemuda Gopeng Mohd Firdaous Mohamad Anwar juga membuat gesaan yang sama, meminta exco mempertimbangkan semula keputusannya dan mendesak Pemuda Umno memainkan peranan sebagai “pembela barisan hadapan” parti.
Ahli biasa, Aemierulrizaki Rambli dari Kuala Selangor, berkata anggota Pemuda harus menjadi contoh “pahlawan” kepada golongan muda dan bangkit mempertahankan pemimpin mereka ketika ditindas.
“Pemuda ini bakal pemimpin akan datang tapi kalau beginilah caranya, Umno ini memang layak berkubur kerana ketuanya tidak mempunyai jati diri dan semangat perjuangan,” katanya.
Kenyataan mereka dikeluarkan pada platform media sosial peribadi mereka.
Hanya seorang pemimpin akar umbi Pemuda yang berbeza pandangan setakat ini dan menyokong keputusan exco itu.

Ketua Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata keputusan exco itu adalah “profesional” kerana ia membezakan antara presiden Zahid sebagai individu, dan pejabat atau institusi presiden parti.
“Meminta seorang pemimpin bercuti tidak bermakna beliau bersalah. Gesaan bercuti hendaklah dilihat sebagai langkah untuk memisahkan parti daripada menerima kesan negatif jika pemimpin tersebut didapati bersalah.
“Jika beliau didapati tidak bersalah oleh mahkamah, jawatannya akan dikembalikan semula.”
Syed Atif juga berkata Zahid boleh menggunakan masa dalam beberapa minggu kebelakangan untuk menjelaskan siasatan dan tuduhan rasuah terhadapnya kepada semua peringkat kepimpinan parti, tetapi beliau tidak melakukannya.
Penjelasannya dalam media tidak meyakinkan, kata Syed Atif, sambil menambah Pemuda Umno di Perlis tidak tahu tentang sumbangan daripada yayasan amal di bawah Zahid yang kononnya menyumbangkan dana kepada sekolah dan masjid tahfiz di negeri ini.
“Tidak wajar dan tidak sesuai untuk membuat semua orang menggunakan skrip yang sama bahawa setiap orang perlu membabi buta menyokong kepimpinan tanpa penjelasan sebenar terlebih dahulu.
“Pergerakan Pemuda adalah profesional dan dilakukan untuk melindungi imej Umno. Jika kita memberi sokongan membabi buta, dan kemudian ada bukti tentang dakwaan jenayah atau mengumpulkan kekayaan, apa yang akan anda katakan nanti?”
Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam malam tadi melancarkan serangan pertama terhadap kepimpinan Asyraf daripada sayap Pemuda kerana gagal mempertahankan Zahid. – 26 Oktober, 2018.
Komen