Pemuda Umno gesa Ahmad Zahid bercuti, bukan letak jawatan


Mohd Farhan Darwis

PEMUDA Umno Malaysia hari ini menggesa presidennya Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan untuk beliau bercuti susulan pendakwaan terhadapnya.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki juga menafikan, sayap pergerakan pemuda itu meminta Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatan presiden parti.

“Dalam konteks ini juga Pemuda mencadangkan presiden dapat mempertimbangkan beliau berehat dan bercuti daripada menjalankan tugas presiden parti sehingga selesai kes di mahkamah. 

“Tidak adil bebankan pesiden dengan sebegitu banyak pertuduhan dalam keadaan Umno perlu bergerak pantas dalam suasana politik yang berbeza hari ini,” kata Asyraf, ketika sidang medianya, selepas mesyuarat bulanan sayap Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Asyraf berkata, gesaan untuk Ahmad Zahid berehat daripada tugas presiden bukan bermakna sayap itu melihat beliau bersalah.

Sebaliknya beliau berkata, ahli Parlimen Bagan Datuk itu harus diberikan peluang untuk menumpukan usaha membersihkan namanya di mahkamah.

“Pemuda tetap berpendirian selagi tidak disabitkan hukuman, beliau berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah, dan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, melibatkan yayasan milik keluarganya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2018

“Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus, tanpa prejudis di kamar mahkamah dan bukannya dihukum di pentas media.

“Pemuda menegaskan beliau harus diberikan hak dan peluang untuk membela diri dan mendapat keadilan sepenuhnya,” kata Asyraf.

Asyraf berkata sekiranya perkara itu berlaku, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan memutuskan pihak yang bertanggungjawab memangku tugas presiden.

“Itu kita serah kepada MKT untuk menentukan siapa yang akan memangku atau ambil tanggungjawab itu. Kita buat keputusan bukan berasaskan sentimen. 

“Kita bukan nak jatuhkan sesiapa, jika mahkamah putuskan beliau tidak bersalah kita orang pertama akan sokong beliau sebagai presiden,” katanya sambil menambah keputusan berkenaan dicapai sebulat suara oleh Pemuda Umno 

Ahmad Zahid kini berdepan 45 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah, dan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, melibatkan yayasan milik keluarganya. – 25 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen