Tanda sokong Zahid, Pemuda Umno Perak digesa boikot permukiman


Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid menyatakan yang keputusan Pemuda pusat yang menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercuti sudah ditentangnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2018.

SEBAGAI tanda solidariti kepada presiden dan menunjukkan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Pemuda pusat, Pemuda Perak digesa memboikot permukiman sayap itu esok, kata Ketua Pemudanya Mohd Ariff Abdul Majid.

Ariff dalam satu kenyataan hari ini menyatakan yang keputusan Pemuda pusat yang menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercuti sudah ditentangnya.  

“Percayalah sahabat-sahabat saya sudah mencuba sehabis baik bagi mempertahankan institusi presiden dalam mesyuarat. 

“Tapi apakan daya kerana hanya saya seorang yang menentang berbanding suara majoriti yang menyokong keputusan tersebut,” katanya.

Tambahnya, beliau membuat keputusan untuk berdiam diri selepas mesyuarat semalam kerana enggan mengeruhkan keadaan.

“Bagi menghormati institusi PPUM (Pemuda Umno Malaysia), saya tidak dapat mengeluarkan apa-apa kenyataan kerana menghormati keputusan mesyuarat dan mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh,” jelasnya.

Semalam, Pemuda Umno menggesa Zahid mempertimbangkan untuk bercuti sementara menunggu pertuduhan jenayah terhadapnya selesai dibicarakan.

Desakan yang diumumkan Ketua Pemuda Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu mengundang pelbagai kecaman termasuklah daripada Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam yang menggelarkan Asyraf “bangsat” dan mencabarnya meletak jawatan supaya pemilihan semula ketua Pemuda dapat berlaku.

Perpaduan Pemuda Umno juga mula bergoyah susulan desakan Asyraf, apabila beberapa pemimpin akar umbi menentang cadangan itu. 

Jumaat lepas, Zahid dikenakan 45 pertuduhan- 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM 42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram yang kesemuanya mencecah RM114 juta- berkaitan pengurusan Yayasan Akalbudi dipengerusinya dan salah guna kuasa ketika jadi menteri dalam negeri pada pentadbiran Barisan Nasional.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan.

Hari ini, beliau memulakan jelajah seluruh negara di lokasi pertama, Terengganu untuk memberi penerangan tentang masa depan Umno dan pertuduhan jenayah ke atasnya.  – 26 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen