Kes Zahid tak jejas sokongan akar umbi, kata pemimpin Umno


Zaim Ibrahim

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 45 pertuduhan salah laku rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan pengubahan wang haram.–Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2018.

AHLI Umno tetap setia kepada parti walaupun presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi didakwa dengan 45 pertuduhan salah laku rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan pengubahan wang haram, kata pemimpin parti.

Malah, program yang diadakan di peringkat akar umbi juga menunjukkan ahli Umno kekal bersemangat dan kukuh bersama parti Melayu itu, kata mereka.

Tindakan beberapa pemimpin tertinggi Umno yang keluar parti juga tidak memberi kesan kepada ahli akar umbi yang masih setia, kata Ketua Pemuda Umno Kuala Lumpur, Mohd Nizam Abdullah.

“Saya dah lawat banyak bahagian dan masih bergerak aktif. Saya tidak nampak akar umbi terkesan (dengan penahanan Zahid), yang mungkin terkesan adalah di peringkat atas. 

“Semangat akar umbi lebih berkobar-kobar,” kata Nizam yang menambah, perkara itu dapat dilihat melalui sokongan kira-kira 200 orang ahli Umno ke mahkamah, Jumaat lalu.

Katanya, ahli parti itu tetap hadir menyatakan sokongan kepada presiden walau tidak diberikan apa-apa imbuhan.

“Orang kata Umno perlu bayaran tetapi di mahkamah tempoh hari buktikan sebaliknya. Mereka sanggup berpanas, tanpa duit, tanpa makan, tanpa apa-apa (imbuhan),” kata Nizam.

Namun, ada juga yang bimbang jika pendirian golongan muda dalam Umno kini mulai goyah.

Ketua Pemuda Umno Kuala Pilah, Muhd Suffian Maradzi mendedahkan, program parti masih diteruskan dan ahli lama masih setia kepada parti.

“Program-program dan aktiviti akar umbi masih terus berjalan cuma melalui kaedah sebagai pejuang pembangkang. 

“Kami akui, ahli-ahli di peringkat kampung amat sayangkan perjuangan Umno cuma anak-anak muda dan ahli yang baru dalam perjuangan mungkin sedikit goyah jati diri mereka,” ujarnya. 

Seorang lagi, Ketua Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin pula mendakwa, ahli Umno percaya penahanan Zahid bermotifkan politik serta cubaan melumpuhkan parti.

“Akar umbi nampak semakin kuat, bukan lemah. Baru-baru ini saya ke beberapa bahagian di Johor, akar umbi nampaknya bersedia untuk Umno kembali bangkit bersaing dalam arena politik,” jelas beliau.

Sebahagian daripada ahli Umno berhimpun di perkarangan mahkamah bagi menunjukan sokongan terhadap presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2018

Kenyataannya selari dengan pandangan pemimpin kanan Umno bahawa tuduhan ke atas Zahid sengaja diadakan bagi meruntuhkan semangat ahli parti tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Saidi Mohd Daud berkata, semangat akar umbi bukan sahaja tidak luntur malah semakin meningkat.

“Apabila (mereka) melihat cara pemimpin daripada Umno diperlakukan sebegitu, ahli-ahli mempertikaikan konsep keluhuran undang-undang yang tidak pernah diangkat sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih,” katanya.

Tambahnya, beliau juga tidak mendengar mana-mana ahli di bahagian Bukit Gantang yang ingin keluar parti.

“Kita dah lawat semua cawangan, sokongan masih kuat malah mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan sekarang,” jelas beliau. 

Jumaat lepas, Zahid didakwa dengan 45 pertuduhan – 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM 42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram yang kesemuanya mencecah RM114 juta. 

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan menganggapnya sebagai ujian Tuhan.

Susulan pertuduhan itu, Umno kini akan menentukan sama ada beliau perlu bercuti daripada parti sementara kes itu diselesaikan.

Ia ekoran penjelasan timbalan presiden, Mohammad Hassan bahawa garis panduan parti menetapkan pemimpin tertinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Majlis Penasihat Presiden juga mengumumkan akan bermesyuarat untuk membincangkan kedudukan Zahid sebagai presiden, kata pengerusinya Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno yang mempengerusikan majlis itu berkata wujud desakan yang mahukan presiden itu bercuti.

Pemimpin akar umbi bagaimanapun menyatakan, Zahid tidak perlu berehat selagi tidak disabitkan bersalah atas 45 tuduhan tersebut.

Namun pada masa sama, mereka tidak bimbang sekiranya Zahid perlu direhatkan kerana berpendapat Umno mempunyai pemimpin yang berkaliber.

Menurut pemimpin bahagian Pokok Sena, Noran Zamini, Mohamad diterima positif oleh akar umbi untuk menyandang jawatan tersebut.

“Setakat ini, majoriti ahli-ahli terhadap Mohammad (untuk menggantikan Zahid) adalah positif. Sekiranya beliau perlu memangku, tiada masalah untuk ahli (menerimanya),” tambah beliau. 

Menurutnya, program parti terjejas kerana kurang peruntukan, tetapi masih dilakukan dengan skala yang kecil serta mendapat sumbangan daripada ahli politik dan badan korporat. – 23 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen