Umno anggap pendakwaan Zahid untuk lemahkan semangat parti


Para pemimpin kanan Umno percaya tuduhan ke atas presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi lebih terarah kepada pendakwaan terpilih dan bermotifkan politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

PARA pemimpin kanan Umno percaya tuduhan ke atas presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah semalam sengaja diadakan bagi meruntuhkan semangat ahli parti tersebut. 

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaacob berkata, pertuduhan yang dihadapi Zahid lebih terarah kepada pendakwaan terpilih dan bersifat politik. 

“Bagi kita yang dituduh ini bukan Zahid, tetapi presiden Umno. Jadi tanggungjawab kita sebagai ahli Umno untuk menyokong pimpinan kita,” kata beliau seperti dipetik Utusan Malaysia. 

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin juga percaya 45 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram ke atas Zahid sengaja diada-adakan.

“Tuduhan-tuduhan itu mungkin sengaja diadakan untuk meruntuhkan semangat kita dalam Umno, sebab itu saya minta semua ahli agar terus istiqamah memberikan sokongan padu kepada pucuk pimpinan.

“Kita buktikan kita pembangkang yang kuat dan berwibawa, tiada sebarang usaha boleh mematahkan semangat kita dalam Umno.

“Selepas ini kita bangkit dan buktikan bahawa Umno tetap relevan,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu lagi.

Sementara itu, ketua penerangannya Shamsul Anuar Nasarah, mengingatkan ahli Umno agar tidak terperangkap dengan permainan politik pihak tertentu yang menurutnya mahu menghancurkan parti.

“Apa yang dilakukan oleh mereka hanyalah bertujuan melemahkan dan melunturkan semangat ahli Umno. Apabila kita lemah, kita akan berpecah atau dipecah-pecahkan,” kata beliau.

Zahid semalam didakwa dengan 45 pertuduhan – 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM 42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram yang kesemuanya mencecah RM114 juta. 

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan dan menganggapnya sebagai ujian Tuhan. – 20 Oktober, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen