PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mungkin perlu berehat sementara daripada menjalankan tugas partinya selepas didakwa dengan 45 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, kata timbalannya, Mohamad Hassan.
Bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamad berkata prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pada 2009 yang memerlukan pemimpin tertinggi bercuti jika mereka berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.
“SOP baru menyatakan mereka yang dituduh perlu mengambil cuti tetapi boleh meneruskan tugas selepas perbicaraan dan didapati tidak bersalah,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.
“Sebelum ini, jika anda dikenakan dakwaan, anda akan digantung tetapi pada 2009, SOP baru diperkenalkan.”
Mohamad juga berkata perkara ini akan dibincangkan oleh jawatankuasa parti sebelum ia dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk keputusan.
“Kami akan mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa pengurusan dan kemudian kami akan membawanya ke Majlis Tertinggi, ada keputusan yang akan dibuat,” katanya.
Beliau menggesa anggota akar umbi bertenang walaupun beberapa ahli parti, termasuk bekas presiden Najib Razak, sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana rasuah.
“Adalah penting bagi kita semua untuk bertenang. Kita perlu percaya kepada polis, mahkamah dan SPRM dan saya percaya mereka akan menjalankan proses ini dengan cara yang adil. Itulah sebabnya Umno mesti bertenang.
“Umno bukan parti untuk mana-mana individu. Kami mempunyai 3 juta ahli. Untuk memastikan kita tetap kuat, kita tidak boleh terganggu. Kita perlu fokus,” katanya.
Zahid didakwa dengan 45 tuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114 juta.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman berkata semalam Najib atau Zahid tidak akan digantung, kerana parti percaya tindakan itu adalah bermotifkan politik. – 19 Oktober, 2018.
Komen