HAMPIR 5,500 undi ragu dikesan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR sejak pemilihan 23 September lalu, kata timbalan pengarahnya Adzman Hedra.
Malah secara purata, hanya 10% undi daripada yang diterima itu merupakan undi daripada ahli parti yang sah, katanya yang melihatnya sebagai perkembangan aneh.
“Apa yang kita temui dalam pemilihan ini ialah ramai bukan anggota keluar mengundi. Trend seperti ini tidak dijangka dan agak pelik. Kenapa mereka keluar mengundi kerana ini bukan pilihan raya umum.
“Misalnya kami dapati di Johor sebelum ini hampir 1,100 undi ragu tetapi hanya 10% sahaja anggota parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, calon perlu lebih bertanggungjawab memastikan penyokong yang dibawa untuk mengundi benar-benar anggota parti.
“Kalau tidak ia akan menambahkan beban kami yang akhirnya tidak melancarkan proses pengundian,” katanya Adzman lagi.
Jelasnya, undi ragu merupakan undi daripada individu yang tidak dapat dikesan dalam sistem e-undi tetapi mengaku dirinya ahli parti dan mahu membuat pengundian.
Individu tersebut akan mengisi borang 11 dan undinya akan diasingkan. Undian hanya akan diterima selepas disahkan ibu pejabat mempunyai keahlian yang sah.

Adzman turut mendedahkan jumlah undi ragu bagi Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Pahang sertaKuala Lumpur adalah sebanyak 1,800.
Pemilihan di Selangor yang menjalani dua fasa pengundi menerima hampir 2,500 undi ragu dan proses pengiraan sedang dibuat.
Jumlah undi ragu di Negeri Sembilan dan Melaka pula masih tidak dapat dipastikan jumlah kerana proses keputusan yang tertangguh kerana masalah teknikal.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan beberapa pimpinan parti sebelum ini mencetuskan kebimbangan kerana jumlah undi ragu yang meningkat dan mahu ia diambil perhatian serius parti.
Dalam pada itu, JPP mendedahkan sebelum ini mendedahkan kurang 25% keluar mengundi pada pemilihan 2018 dan ia disifatkan rendah oleh penganalisis politik.
Pemilihan Selangor fasa kedua pada Ahad dicemari dengan beberapa pergaduhan kecil berikutan dakwaan kehadiran “pengundi hantu” selain pertembungan penyokong calon-calon bertanding sehingga menimbulkan ketegangan. – 23 Oktober, 2018.
Komen