PEMILIHAN PKR di lima daripada enam cabang di Melaka semalam tergendala selepas ada masalah pada sistem undi elektronik menyebabkan undi yang dimasukkan pengundi hilang daripada sistem, kata Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Pengarah JPP Rashid Din berkata masalah itu berlaku di cabang Tangga Batu, Jasin, Kota Melaka, Masjid Tanah, dan Alor Gajah.
“Hanya Bukit Katil saja tiada masalah dan diterima undinya. Kita minta 24 jam untuk buat post mortem bagi kesan undi yang hilang dalam sistem.
“Misterinya, undi ini tidak dapat dikesan. Semalam kita cari sampai jam 2 pagi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Rashid berkata sekiranya masalah tersebut tidak selesai, pihak JPP akan memutuskan untuk membuat pengundian semula.
“Esok kita akan buat sidang media di ibu pejabat PKR sekiranya masalah tidak selesai hari ini,” katanya lagi.
Rafizi menang di Negeri Sembilan
Masalah sama turut berlaku di satu daripada lapan cabang di Negeri Sembilan iaitu Jelebu yang akan mengundi semula.

Semalam, Rafizi Ramli yang mencabar Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden mendakwa beliau sudah menang di dua negeri tersebut.
Keputusan di Melaka yang dikira The Malaysian Insight semalam mendapati Rafizi memperoleh 1,174 undi di Masjid Tanah, Alor Gajah, Bukit Katil dan Kota Melaka sementara Azmin dapat 943 undi.
Bagaimanapun undi rasmi yang diterima JPP dari Melaka semalam hanya undi Bukit Katil iaitu 261 buat Rafizi dan 311 bagi Azmin.
Sementara itu undi keseluruhan di Negeri Sembilan memihak kepada Rafizi dengan 2,839 manakala 2,800 undi Azmin, belum termasuk undi dari Jelebu.
Hari ini, tujuh cabang di Selangor mengundi bagi fasa kedua pemilihan PKR di negeri itu. Pemilihan di Selangor dibuat dalam tempoh tiga kali Ahad kerana ia negeri yang mempunyai ahli paling ramai, iaitu hampir 250,000 ahli meliputi hampir 30% yang layak mengundi.
Azmin hari ini mengulangi gesaannya agar masalah dalam pemilihan yang sedang berlangsung ini ditangani selepas ada banyak aduan tentang beli undi dan rasuah selain masalah teknikal.
“Semua aduan itu perlu disiasat dengan adil. Bukan saja politik wang tetapi kami dapati ada banyak aduan tentang proses pemilihan.
“JPP perlu bertanggungjawab bagi memastikan proses terbuka yang adil dan saksama,” kata Azmin. – 21 Oktober, 2018.

Komen