Undi ragu tinggi, pimpinan PKR bimbang ada manipulasi


Nabihah Hamid

Ahli PKR bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memanipulasi proses pemilihan parti susulan pertambahan undi meragukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2018.

ADA undi ragu bertambah dalam pemilihan PKR yang sedang berjalan sekarang menyebabkan beberapa pimpinan parti itu menggesa jawatankuasa pemilihan parti (JPP) meneliti dengan telus perjalanan pengundian di negeri-negeri.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta parti menjalankan siasatan terperinci selain menjelaskan jumlah undi ragu yang diterima setakat ini, selepas enam negeri selesai mengundi.

“Ada beza sebab dulu tidak begitu banyak, tetapi kali ini saya lihat banyak. Jadi kena siasat balik (undi ragu),” kata Adun Sungai Tua itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengulas hampir 1,100 undi ragu di Johor baru-baru ini daripada 10,725 ahli yang keluar mengundi pada 30 September lalu.

Daripada jumlah undi ragu itu, The Malaysian Insight difahamkan hanya lebih kurang 10% yang diterima sebagai undi sah oleh JPP.

JPP sehingga ini enggan mendedahkan 10% undi yang diterima itu memihak kepada siapa, Mohamed Azmin Ali atau Rafizi Ramli yang bertanding untuk jawatan timbalan presiden.

Dalam pada itu, seorang anggota PKR sejak 2008 berkata jumlah undi ragu mencecah sehingga 1,000 itu tidak masuk akal.

Beliau bimbang ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memanipulasi proses pemilihan parti itu.

“Ada yang memang betul-betul ahli tetapi sistem tak kemas kini, jadi JPP bagi mengundi juga.

“Tetapi dulu tak adalah sampai beribu. Setahu saya adalah mungkin kurang 10 orang. Setiap cabang tak banyak pun.

“Dulu (semasa pemilihan) 2014, Rafizi menang ketua cabang pun sebab undi ragu, ada dua saja majoriti,” kata ahli PKR yang juga wakil rakyat negeri yang enggan dinamakan itu.

Dalam pada itu, calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat Abdullah Sani Abdul Hamid berharap pihak yang terlibat dalam membuat penambahbaikan dengan segera.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata kekeliruan berlaku apabila sistem keahlian secara manual telah ditukar kepada atas talian.

Hampir 1,100 undi ragu diperolehi di Johor baru-baru ini daripada 10,725 ahli yang keluar mengundi pada 30 September lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2018.

“Sebagai contoh, orang itu sudah jadi ahli 10 tahun dan kali ini namanya tercicir sebab sistem tidak memasukkan nama dia. Sebab itu sistem manual masih jadi rujukan.

“Saya pun khuatir tapi sistem itu kita sudah setuju, kita setujulah, cuma kena perbaiki lagilah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Timbalan JPP Dr Adzman Hedra, hanya 10% nama ahli yang dimasukkan dalam senarai pengundian elektronik atau e-voting mempunyai masalah.

“10% sahaja yang ada masalah seperti tercicir, nombor kad pengenalan bertindih. Tapi kita sentiasa baiki kelemahan,” katanya.

Namun katanya, sebab itulah JPP mengasing pengundi terlibat sebagai pengundi ragu dan mengambil masa untuk mengesahkan undi ragu agar tidak berlaku penipuan.

“Kita terkejut di Johor, daripada 1,100 hanya 10% sahaja undi yang kami terima. Yang lain bukan ahli,” kata Adzman lagi.

Sementara itu calon Ketua Angkatan Muda Keadilan Akmal Nasir berkata undi ragu adalah untuk memberi peluang kepada anggota parti yang namanya tercicir.

“Yang paling penting kita kena pastikan undi ragu itu disahkan sebagai anggota. Mungkin mereka sebelum ini berdaftar dengan mana-mana pimpinan sedangkan sepatutnya dibuat secara online.

“Cuma sekarang ini untuk menafikan hak mereka mengundi tidak adil. Bayangkan mereka datang dengan bersungguh-sungguh untuk mengundi kemudian dinafikan haknya,” kata ahli Parlimen Johor Bahru itu. – 13 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen