7 lelaki ditahan kekecohan pemilihan PKR di Petaling Jaya


Pemilihan PKR di beberapa cabang di Selangor kecoh semalam berikutan dakwaan kehadiran pengundi hant selain pertembungan penyokong calon-calon bertanding sehingga menimbulkan ketegangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2018.

POLIS menahan tujuh lelaki selepas disyaki menimbulkan kekecohan semasa proses pemilihan PKR di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata pihaknya mengambil keterangan kesemua mereka berumur 18 hingga 55 tahun itu diambil keterangan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, media melaporkan pemilihan PKR di beberapa cabang di Selangor kecoh berikutan dakwaan kehadiran “pengundi hantu” selain pertembungan penyokong calon-calon bertanding sehingga menimbulkan ketegangan.

Tujuh daripada 22 cabang PKR Selangor mengadakan fasa kedua pemilihan di negeri itu.

Seramai 83,934 anggota layak mengundi membabitkan cabang Puchong dengan 17,748 pengundi, Gombak (9,921), Petaling Jaya Utara (6,136), Petaling Jaya Selatan (7,906), Kuala Langat (14,121), Klang (12,998) dan Selayang (15,104). – Bernama, 22 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen