Tidak sampai 25% ahli PKR mengundi pemilihan parti, kata JPP


Nabihah Hamid

Ahli PKR menunggu giliran untuk membuang undi pada pemilihan parti di Lembah pantai pada 7 Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

TIDAK sampai satu perempat ahli PKR keluar mengundi di tujuh negeri yang sudah memilih sejak 23 September lalu, kata pihak pengurusan pemilihan parti itu, walaupun keahlian parti meningkat dengan mendadak selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ini membayangkan ahli parti itu sudah penat dengan politik, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan empat pilihan raya kecil (PRK), atau kurang kesedaran tentang demokrasi, kata penganalisis politik dan pemimpin parti.

Sebelum ini, banyak pihak menjangkakan peningkatan ahli baru lebih 300,000 sebelum pemilihan akan memberi kesan pada pola pengundian.

Bagaimanapun itu tidak berlaku di cabang-cabang yang sudah mengundi dalam pemilihan yang dijalankan secara berperingkat mengikut negeri.

Namun pengurusan parti menyifatkan jumlah 21% itu masih tinggi berbanding 12% saja yang keluar mengundi pada pemilihan penggal yang lalu pada 2014.

“Ini sudah hampir dua kali ganda jika dibanding dengan pemilihan sebelum ini. Apapun kita sasarkan keluar mengundi 40% kali ini.

“Jadi kita seru calon bawa keluar ahli parti untuk turun mengundi,” kata Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Rashid Din kepada The Malaysian Insight.

Antara 23 September hingga 14 Oktober lalu, hanya 70,505 ahli PKR yang keluar memilih daripada keseluruhan 320,957 yang layak mengundi di tujuh negeri, termasuk sembilan cabang di Selangor yang mengundi minggu lalu.

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata peratusan keluar mengundi yang rendah mencerminkan ahli akar umbi PKR kurang kesedaran politik berbanding lantangnya slogan reformasi dilaungkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

Enam negeri yang sudah mengundi ialah Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan, manakala pemilihan di Selangor selesai akhir bulan ini.

Pemilihan di Selangor dibuat secara berperingkat dengan tujuh cabang mengundi hari ini dan baki enam mengundi pada 28 Oktober.

Melaka dan Negeri Sembilan juga akan mengundi hari ini sementara Perlis pada esok.

PKR menggunakan sistem pengundian elektronik yang juga mencetuskan kontroversi apabila timbul masalah dan kekecohan pada peringkat awal sehingga memaksa keputusan pengundian di Kedah dibatalkan. Kedah akan mengundi semula 26 Oktober ini.

Penganalisis sosiopolitik Prof Dr Awang Azman Awang Pawi melihat konsep “seorang ahli satu undi” tidak bermakna sekiranya tidak sampai satu pertiga ahli parti yang mengundi.

“Ini kurang baik untuk demokrasi matang. Ini bermakna untuk memilih jawatan tertinggi PKR yang akhirnya akan menduduki jawatan Kabinet seperti perdana menteri dan menteri hanya dipilih oleh sekitar 30% pengundi sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, PKR tidak harus memandang remeh perkara ini kerana peratusan mengundi yang rendah itu jelas mencerminkan ahli akar umbi parti itu kurang kesedaran politik berbanding lantangnya slogan reformasi yang mereka laungkan.

“Atau adakah ini bermakna ada akar umbi PKR kurang berpuas hati dengan persaingan dalam perebutan jawatan tertinggi parti yang dilihat agak agresif dan politik wang yang dikatakan berluasa berlaku,” kata pensyarah Universiti Malaya (UM) itu.

Calon Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha berpuas hati dengan bilangan 21% yang keluar mengundi. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.

Pemilihan PKR pada 2010 hanya melibatkan 30% ahlinya yang mengundi. Angka itu merosot pada pemilihan 2014 apabila hanya 12% yang keluar mengundi.

Dalam pada itu, calon ketua Wanita Haniza Talha berpendapat trend pengundian rendah berlaku kerana pemilihan parti sering dibuat selepas PRU.

“Ahli PKR juga pengundi masa PRU dan kali ini mereka juga sudah berhadapan dengan empat PRK. Mungkin mereka kurang kepentingan, tapi bagi saya 21% juga sudah besar peratusannya,” kata Haniza.

Sementara itu. Ketua AMK Cabang Hulu Selangor Saifudin Shafi meminta setiausaha agung parti supaya mengemas kini data hampir 40% ahli yang tidak aktif.

“Parti perlu diberi perhatian serius supaya mereka boleh mengurus hala tuju dengan lebih objektif dan tepat,” katanya.

Keahlian parti reformasi ini naik mendadak sebanyak 300,000 ahli baharu selepas PKR jadi sebahagian daripada kerajaan apabila Pakatan Harapan menang pilihan raya 9 Mei.

Ahli baharu yang mendaftar itu membentuk lebih kurang 40% ahli yang layak mengundi. – 20 Oktober, 2018.

Sumber data peratusan daripada JPP.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen