9 cabang PKR Kedah tangguh pemilihan


Pemilihan PKR bermula pada 22 September hingga 7 Oktober depan. – – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2018.

PEMILIHAN PKR di sembilan cabang di Kedah terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditentukan kelak ekoran beberapa isu terutamanya masalah teknikal dan kelemahan  petugas pusat mengundi hari ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Ismail Yusop berkata cabang terlibat ialah Merbok, Sungai Petani, Kulim-Bandar Baharu, Sik, Alor Setar, Padang Serai, Baling, Jerai dan Langkawi.

PKR Kedah mempunyai 15 cabang.

Proses pengundian di enam cabang iaitu Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Kuala Kedah dan Pokok Sena berjalan seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata petugas di pusat pengundian berkenaan menghadapi masalah untuk mengakses kata laluan ke dalam sistem pengundian e-undi itu sehingga menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pasukan teknikal di bilik gerakan yang membantu mereka secara manual.

“Ini menyebabkan proses itu mengambil masa,”  katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu, Ismail berkata proses pengundian di Cabang Pokok Sena hanya berlangsung untuk pemilihan peringkat pusat manakala peringkat cabang ditangguhkan berikutan terdapat siasatan kes oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Bernama, 22 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen