KUMPULAN Utusan Melayu Berhad, syarikat media milik Umno, setuju menaikkan kadar bayaran pampasan kepada kakitangannya yang memohon Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) mengikut jumlah gaji yang mereka terima, kata sumber.
Mereka yang menerima gaji di bawah RM5,000 kini ditawarkan pampasan satu setengah bulan kali tahun berkhidmat atau tahun akan terus berkhidmat, mana yang lebih rendah. Mereka yang bergaji antara RM5,000 hingga RM10,000 ditawarkan pampasan satu seperempat bulan sementara yang bergaji lebih RM10,000 pampasan gaji sebulan.
“Kadar baru itu diumumkan oleh pengurusan syarikat dalam taklimat tengahari tadi (semalam),” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun semua terma tawaran lain kekal, tambah sumber, termasuk kaedah bayaran pampasan secara beransur-ansur selama 12 bulan, yang sebelum ini ditegur oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mahfuz Omar.
“Kakitangan dimaklumkan pembayaran pampasan itu mengambil masa kerana syarikat perlu menjual beberapa aset,” tambah sumber.
Kadar baharu pampasan VSS itu diumumkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam taklimat kepada lebih kurang 500 kakitangan di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.
Taklimat itu dibuat dua hari selepas pihak pengurusan Utusan mengadakan pertemuan dengan Mahfuz pada Isnin.
Wakil empat kesatuan sekerja Utusan juga minggu lalu mengadakan pertemuan dengan ketua pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk didengar padangan mereka mengenai tawaran VSS itu.
The Malaysian Insight difahamkan Jabatan Perhubungan Perusahaan bersetuju dengan kaedah pembayaran ansuran 12 bulan selepas mendengar pandangan kesatuan dan penjelasan daripada pihak pengurusan.
Tetapi sekiranya ada pelanggaran perjanjian VSS, Jabatan Buruh akan campur tangan untuk mengambil tindakan, kata sumber.
Sumber dari Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Utusan juga memberitahu pihak mereka menyambut baik tawaran baru yang diumumkan hari ini walaupun berharap syarikat dapat membayar pampasan sekaligus.
“Dianggarkan lebih daripada 300 kakitangan telah menghantar borang permohonan VSS berbanding hanya 100 lebih sahaja sebelum ini. Dijangka semakin ramai (akan memohon) bagi memenuhi kuota 800 tawaran yang diberikan,” kata sumber yang enggan dikenali.
Pada 21 September lepas, Kumpulan Utusan menawarkan VSS untuk mengurangkan separuh daripada 1,500 kakitangannya. Ia ketika itu menawarkan pilihan dua pakej pampasan iaitu sebulan gaji digandakan dengan jumlah tahun sudah berkhidmat atau tahun sebelum pencen, mana yang lebih rendah.
Utusan kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank.
Syarikat itu juga lewat membayar gaji bagi September yang hanya dibayar sebelum 7 Oktober ini. Ini adalah kelewatan bagi bulan kedua berturut-turut selepas ia gagal membayar gaji mengikut masa, bagi Ogos untuk kakitangan eksekutif dan pertengahan September untuk kakitangan bukan eksekutif.
Syarikat itu, yang dikuasai oleh Umno dengan pegangan saham 49.77%, menikmati keuntungan kali terakhir pada 2011. Kerugian terkumpulnya sehingga ini berjumlah RM71.4 juta setakat Mac lepas. – 4 Oktober, 2018.
Komen