Menamakan anak tak sah taraf hal agama, kata mufti Pulau Pinang


Looi Sue-Chern Jason Santos

Semalam, keputusan Mahkamah Rayuan berkata JPN tidak terikat dengan fatwa dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah. – Gambar EPA, 28 Julai, 2017.

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan membenarkan anak tak sah taraf pasangan Muslim menggunakan nama bapa menimbulkan reaksi pelbagai, dengan peguam sivil bertegas fatwa Islam tidak terikat dengan perkara itu, sementara mufti berkata mahkamah sivil perlu mematuhi fatwa dalam kes membabitkan keluarga Islam.

Peguam perlembagaan Syahredzan Johan berkata keputusan mahkamah rayuan itu “betul dan tepat”, kerana ia bidang kuasa mahkamah sivil untuk memutuskan perkara itu, dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga badan kerajaan.

Beliau berkata JPN bukan badan Islam jadi ia tidak perlu mengikut fatwa, yang melarang anak tak sah taraf menggunakan nama bapa bayi, tetapi perlu dibin/dibintikan dengan Abdullah.

“Fatwa tidak mengikat. Mereka lebih bersifat menasihati atau memujuk.

“Jika JPN mahu mengguna pakai fatwa itu, ia keputusan pentadbiran. Tetapi ia tidak boleh bertindih dengan perlembagaan dan peruntukan undang-undang dan pertimbangan.

“Kini dengan keputusan mahkamah, ia tidak ada pilihan kecuali mengikut perintah itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Hakim Abdul Rahman Sebli berkata bidang kuasa ketua pengarah JPN adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak sudah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak saf taraf Islam dan bukan Islam.

Katanya, ketua pengarah berpandukan prosedur menurut BDRA dan tugasnya meluluskan permohonan pendaftaran sekiranya semua keperluan mengikut akta itu dipenuhi.

Beliau berkata BDRA tidak mencerminkan penggunaan sebarang prinsip substantif undang-undang Islam dalam proses pendaftaran, dan menambah Seksyen 13A (2) akta itu membenarkan anak tidak sah taraf dibin/bintikan kepada nama individu yang mengakui dirinya ayah kepada anak tersebut.

BDRA tidak membezakan anak orang Islam dan bukan Islam, dan seksyen 13A(2) akta tidak menyatakan anak tidak sah taraf Islam mesti diberi layanan berbeza berbanding anak bukan Islam dalam perkara berkaitan pendaftaran nama bapa/keluarga, serta tidak menyatakan dalam kes anak orang Islam mesti berbin/bintikan “Abdullah”.

Perintah itu dibuat dalam satu kes rayuan membabitkan seorang kanak-kanak tujuh tahun yang dilahirkan lima bulan dan 24 hari (lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) iaitu kurang enam bulan daripada tarikh pernikahan ibu bapanya.

Kelahiran kanak-kanak itu hanya didaftarkan dua tahun kemudian sebagai pendaftaran lewat menurut Seksyen 12 (1) BDRA dan pasangan terbabit secara bersama memohon nama bapa dimasukkan dalam pendaftaran sebagai ayah kepada anak berkenaan.

Bagaimanapun, pada sijil kelahiran kanak-kanak itu yang dikeluarkan pada 6 Mac 2012,  nama bapa kanak-kanak diletakkan sebagai “Abdullah”, bukan nama ayahnya.

Bagaimanapun, mufti mempunyai pandangan berbeza, bertegas perkara itu terletak di bawah fatwa, kerana ia membabitkan keluarga beragama Islam.

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pihak berkuasa Islam perlu mengikut keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan mengenai perkara itu yang dibuat beberapa tahun lalu.

Menurut keputusan itu yang diwartakan dan diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong, anak yang dilahirkan ibu beragama Islam kurang enam bulan daripada tarikh perkahwinan dianggap anak tak sah taraf.

Wan Salim berkata semua pihak perlu menghormati fatwa, termasuk mahkamah sivil, kerana ia perkara yang membabitkan soal agama.

“Jika ia perkara membabitkan Islam dan umatnya seperti ini, kita kena ikut fatwa.

“Bagi jabatan mufti, kami juga perlu mengikut keputusan peringkat nasional. Kami tidak boleh buat keputusan sendiri. Ia akan menyebabkan kekeliruan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tetapi Syahredzan berkata tidak ada kekeliruan dalam kes itu, menambah fatwa kurang potensi di negeri.

“Fatwa nasional tidak mengikat kecuali ia diguna pakai negeri, kerana agama terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Salah bagi umat Islam jika tidak mengikut fatwa, tetapi JPN bukan orang yang beragama Islam. Ia jabatan kerajaan,” katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa berkata berlaku percanggahan pandangan daripada kedua-dua pihak.

“Kita perlu faham bagaimana mahkamah membuat keputusan yang anak itu boleh menggunakan nama bapa, walaupun dalam Islam, bayi yang dilahirkan enam bulan daripada tarikh pernikahan ibu bapanya dianggap anak tidak sah taraf.

“Bayi yang lahir kurang enam bulan daripada pernikahan ibu bapanya menimbulkan keraguan dan syak wasangka,” katanya, menambah ada banyak kes pasangan cepat-cepat berkahwin selepas tahu sedang mengandung.

Katanya, ada juga kes bayi dilahirkan di luar nikah, dan kerana malu, wanita memberikan anak mereka untuk dijadikan anak angkat; menyebabkan bayi itu didaftarkan dengan Abdullah sebagai bapa.

“Dalam kes ini, saya andaikan mahkamah ada alasan untuk membenarkan anak itu yang lahir awal menggunakan nama bapanya.

“Fatwa juga dibuat untuk melindungi institusi perkahwinan. Bagaimana pihak berkuasa hendak mengendalikan hal ini,” katanya. – 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen