Anak tak sah taraf boleh guna nama bapa, bukan lagi Abdullah


Semakan kehakiman itu dilakukan seorang kanak-kanak dibantu ibubapanya menamakan JPN, ketua pengarah JPN dan kerajaan Malaysia sebagai responden. – Gambar EPA, 27 Julai, 2017.

KETUA pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

Dalam keputusan penting setebal 29 muka surat, Hakim Abdul Rahman Sebli berkata bidang kuasa ketua pengarah adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak sudah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak saf taraf Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata ketua pengarah berpandukan prosedur menurut BDRA dan tugasnya meluluskan permohonan pendaftaran sekiranya semua keperluan mengikut akta itu dipenuhi.

Katanya, BDRA tidak mencerminkan penggunaan sebarang prinsip substantif undang-undang Islam dalam proses pendaftaran, dan menambah bahawa Seksyen 13A (2) akta itu membenarkan anak tidak sah taraf dibin/bintikan kepada nama individu yang mengakui dirinya ayah kepada anak tersebut.

Rahman berkata ketua pengarah pendaftaran negara bertindak secara tidak rasional apabila enggan mengubah nama bapa daripada “Abdullah” kepada nama bapa anak tersebut dalam sijil kelahiran, atas dasar fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa seseorang anak tidak boleh berbin/bintikan nama bapa jika ia anak tidak sah taraf.

“Fatwa, kami ulangi, bukan undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang serta tidak boleh dijadikan asas undang-undang bagi ketua pengarah pendaftaran negara untuk memutuskan nama bapa anak tidak sah taraf menurut Seksyen 13A (2) BDRA,” katanya.

Abdul Rahman berkata fatwa yang dikeluarkan sebuah badan agama tidak mempunyai kuasa undang-undang melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai undang-undang persekutuan menerusi parlimen, yang mana fatwa menjadi sebahagian undang-undang persekutuan tanpa perlu melalui proses perundangan.

Beliau berkata Seksyen 13A (2) BDRA tidak memberi kuasa kepada ketua pengarah pendaftaran negara untuk menolak hasrat seorang ayah yang mahukan seorang kanak-kanak dinisbahkan kepada namanya.

“Juga tidak ada peruntukan yang memberinya kuasa untuk memutuskan sendiri nama bapa kanak-kanak itu ‘Abdullah’, “ katanya semasa membenarkan rayuan satu pasangan dan seorang kanak-kanak yang nama mereka dirahsiakan mahkamah bagi melindungi identiti anak terbabit.

Beliau berkata BDRA tidak membezakan anak orang Islam dan bukan Islam, dan seksyen 13A(2) akta tidak menyatakan anak tidak sah taraf Islam mesti diberi layanan berbeza berbanding anak bukan Islam dalam perkara berkaitan pendaftaran nama bapa/keluarga, serta tidak menyatakan dalam kes anak orang Islam mesti berbin/bintikan “Abdullah”.

“Fatwa yang dikeluarkan badan agama hanya melibatkan pentadbiran undang-undang Islam atau hukum syarak dan tidak kena-mengena dengan tugas ketua pengarah pendaftaran negara berdasarkan BDRA untuk mendaftarkan kelahiran dan kematian di negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Pada 25 lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Rahman, Tengku Maimum Tuan Mat dan Zaleha Yusof membenarkan rayuan pasangan itu yang memohon perintah mahkamah untuk mendorong ketua pengarah pendaftaran negara menggantikan nama “Abdullah” dengan nama bapa kanak-kanak terbabit dalam sijil kelahirannya.

Pasangan itu, kedua-duanya beragama Islam, berkahwin secara sah pada 2009 dan anak berkenaan lahir di Johor pada tahun berikutnya, iaitu lima bulan dan 24 hari (lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) iaitu kurang enam bulan daripada tarikh pernikahan mereka.

Kelahiran kanak-kanak itu hanya didaftarkan dua tahun kemudian sebagai pendaftaran lewat menurut Seksyen 12 (1) BDRA dan pasangan terbabit secara bersama memohon nama bapa dimasukkan dalam pendaftaran sebagai ayah kepada anak berkenaan.

Bagaimanapun, pada sijil kelahiran kanak-kanak itu yang dikeluarkan pada 6 Mac 2012,  nama bapa kanak-kanak diletakkan sebagai “Abdullah”, bukan nama ayahnya.

Pada Februari 2015, permohonan untuk membetulkan nama bapa ditolak berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin/bintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak berkenaan.

Ini menyebabkan mereka memfailkan semakan kehakiman di mahkamah. Permohonan semakan kehakiman itu difailkan kanak-kanak tersebut menerusi rakannya iaitu ibu bapanya dan menamakan JPN, ketua pengarah pendaftaran negara serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata bukan satu keperluan undang-undang bahawa sijil kelahiran anak tidak sah taraf mesti disokong dengan Seksyen 13 akta berkenaan memandangkan seksyen itu hanya menetapkan prosedur bagi si bapa didaftarkan sebagai ayah kepada anak tidak sah taraf terbabit dan ia tidak mengarahkan maklumat tersebut dimasukkan dalam sijil kelahiran.

‘Justeru, adalah keterlaluan dan langsung tidak perlu untuk menisbahkan apa-apa nama bapa/keluarga kepada anak dalam sijil kelahiran melainkan, dalam kes anak orang Islam, bagi tujuan mengumumkan kepada seluruh dunia yang anak itu anak tidak sah taraf dengan menyertakan nama ‘Abdullah’ bersama namanya dalam sijil kelahiran.

“Kami percaya Islam tidak menyokong perbuatan memalukan anak yang tidak bersalah itu secara terbuka sedemikian.

“Perayu pertama (si anak), terpaksa membawa stigma anak tidak sah taraf sepanjang hidupnya, kes klasik dihukum atas dosa ibu bapa yang pada hakikatnya berkahwin secara sah sebelum dia dilahirkan,” katanya.

Beliau berkata pasangan itu kekal sebagai ibu bapa kanak-kanak berkenaan sehingga sekarang dan kesedihan kanak-kanak tersebut akan bertambah jika dia membandingkan sijil kelahirannya dengan sijil kelahiran adik (jika ada) yang tertera nama bapa mereka, tidak seperti sijil lahirnya.

“Kita boleh bayangkan kesedihan perayu pertama (si anak), apatah lagi perasaan malu yang ditanggungnya sepanjang hayat. Sekeping sijil kelahiran menjadi peringatan pedih tentang situasi kelahirannya ke dunia ini. Ia tidak patut dijadikan instrumen malu,” katanya. – Bernama, 27 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen