Pembantu taska ditahan selepas bayi meninggal dunia


SEORANG pembantu taska ditahan selepas bayi berusia lapan bulan di bawah jagaannya meninggal dunia di sebuah taska di Taman Kelemak Utama di Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Ashari Abu Samah mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 34 tahun yang mempunyai tiga anak sendiri, lapor Bernama.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada Hospital Alor Gajah yang melaporkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dibawa ke wad kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Menurut siasatan awal, bayi itu dihantar ke taska oleh ibu dan datuknya kira-kira jam 7.05 pagi sebelum ibu mangsa menerima panggilan daripada taska memaklumkan mayat mangsa bertukar menjadi biru dan hidungnya berdarah serta mangsa pula dalam keadaan terkulai.

Mangsa segera dibawa ke Hospital Alor Gajah di mana doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia. Bedah siasat kemudian dijalankan, katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sementara itu, bapa bayi itu Fikry Amri Abd Halim, 39, berkata anaknya Al Fateh Amri hanya dihantar ke taska sejak lima hari lalu.

Beliau berkata, ketika isterinya Sabrina Hakiem Zaini, 39, bergegas ke taska dia mendapati anak mereka lemas dengan mulut berdarah dan muka kebiruan.

“Baru lima hari saya menghantar anak saya dan ini yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di unit forensik Hospital Alor Gajah malam tadi.

Fikry yang merupakan seorang pegawai tentera berpangkalan di Kem Sungai Besi Perdana di Kuala Lumpur berkata, lebih memeranjatkannya apabila mengetahui taska itu tidak mempunyai lesen walaupun sudah empat tahun beroperasi.

Pasangan itu telah menunggu selama 13 tahun untuk mendapatkan cahaya mata yang diimpikan dan tidak menyangka tragedi sebegitu berlaku selepas isterinya mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak itu. – 7 September, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen