TERDAPAT cubaan pihak tertentu untuk mempengaruhi pengundi supaya tidak mengundi pada pilihan raya kecil DUN Nenggiri Sabtu ini, kata polis.
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata pihak polis memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuat sebarang kenyataan provokasi melampau yang boleh mengganggu gugat sistem demokrasi dan ketenteraman awam.
Beliau berkata, tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu kesalahan membangkitkan perasaan niat jahat atau permusuhan.
“Polis akan memastikan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang halangan dan memberi jaminan bahawa semua pengundi akan dapat mengundi dengan selamat dan bebas membuat pilihan tanpa dipengaruhi mana-mana individu untuk mengelak daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki berkata polis memuji majoriti parti atau individu yang menjalankan kempen secara sihat dan mematuhi syarat pilihan raya.
“Mana-mana parti politik atau individu dilarang sama sekali memprovokasi antara satu sama lain bagi mengelak mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
PRK itu menyaksikan pertembungan sengit antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, juga dikenali sebagai Awie, mewakili Kerajaan Perpaduan, dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail, mewakili Perikatan Nasional (PN).
Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim tidak lagi menjadi ahli Bersatu pada 13 Jun. – 16 Ogos, 2024.
Komen