BENDERA Sarawak terbesar yang dipasang pada tiang bendera kontroversi RM30 juta, ditiup angin ke dalam Sungai Sarawak di Kuching semalam.
Bendera berukuran 25 meter panjang dan 12 meter tinggi itu diterbangkan angin kencang ketika cuaca ribut petang semalam.
Dewan Bandaraya Kuching Utara berkata, bendera itu dicabut dan diterbangkan angin kencang ke dalam Sungai Sarawak.
“Ia diselamatkan dari sungai malam tadi sekitar jam 11 malam dan digantikan dengan bendera baharu,” kata pengurusan Dewan Bandaraya.
Tiang bendera setinggi 99 meter itu merupakan monumen bendera tertinggi di negeri dan negara ini.
Premier Abang Johari Openg berkata ia juga merupakan tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara.
Ahli politik dari parti pembangkang dan rakyat Sarawak membidas kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak kerana membazirkan wang dalam jumlah besar untuk tiang bendera.
Johari bagaimanapun mempertahankan projek itu sebagai ikon pelancongan baharu Sarawak.
Beliau juga berkata kos tiang bendera itu ditaja oleh pihak swasta dan negeri hanya menyediakan tapak untuk tiang bendera itu.
Tiang bendera itu terletak di tebing Sungai Sarawak berhampiran Kompleks Dewan Undangan Negeri, berhadapan ibu negeri Kuching.– 3 September, 2024.
Komen