Jawatankuasa khas cari rakyat Sarawak tanpa kewarganegaraan, kata menteri


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau bertemu dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg di Kuching hari ini untuk membincangkan isu kewarganegaraan penduduk di pedalaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos 2024.

JAWATANKUASA Kerajaan Persekutuan dan Sarawak yang ditubuhkan tahun lalu untuk menyelesaikan kes-kes rakyat Sarawak tanpa kewarganegaraan akan mempergiatkan usaha mengesan sebanyak mungkin individu tanpa kewarganegaraan di kawasan pedalaman Sarawak.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau bertemu dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg di Kuching hari ini untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Kami akan mempercepatkan usaha untuk mengesan dan mendaftar penduduk luar bandar yang tinggal di kawasan terpencil di Sarawak yang masih kekurangan dokumen peribadi seperti sijil kelahiran serta kad pengenalan.

“Jawatankuasa bersama ini akan mengerahkan pasukan ke sebanyak mungkin penempatan terpencil termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara.

“Mereka akan memproses permohonan individu tanpa kewarganegaraan, menemuduga mereka dan mengumpul bukti tentang lokasi kelahiran mereka semasa lawatan ini.

“Kerajaan negeri memberikan sokongan logistik sepenuhnya.”

“Jika helikopter diperlukan, kerajaan negeri akan menyediakannya.

“Dengan usaha yang dipertingkatkan dan kerjasama logistik yang menyeluruh antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak, saya yakin kita akan melihat kemajuan yang signifikan dalam beberapa bulan akan datang dalam mengesan, mengenal pasti dan membantu lebih ramai rakyat Sarawak tanpa kewarganegaraan,” katanya kepada wartawan hari ini di Kuching.

Saifuddin berkata kerajaan negeri juga mengumpulkan data mengenai lokasi di mana ramai individu masih kekurangan dokumen peribadi yang penting.

“JPN di Sarawak juga mempunyai data yang boleh kami manfaatkan.

“Dengan pendekatan serius yang diambil oleh kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Sarawak, isu rakyat Sarawak tanpa kewarganegaraan ini diharapkan dapat diselesaikan secara menyeluruh dalam masa terdekat,” tambahnya.

Pada 20 November tahun lalu, jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membantu dalam mendaftar individu tanpa kewarganegaraan di Sarawak telah datang ke Miri untuk menubuhkan kaunter pendaftaran bergerak di Pusat Sivik Miri.

Ratusan individu tanpa kewarganegaraan dari kawasan luar bandar datang ke bandar setiap hari termasuk dari penempatan terpencil Baram di pedalaman Miri.

Namun ramai yang kecewa kerana kakitangan kaunter hanya dapat melayani bilangan individu yang terhad setiap hari.

Aktivis sosial Baram, Willie Kajan memaklumkan The Vibes mengenai kesesakan di kaunter.

Ratusan orang dilihat berkumpul di koridor sehingga ke jalan raya.

Kajan kemudian mendesak kerajaan negeri dan Persekutuan untuk membuat keputusan segera melanjutkan perkhidmatan kaunter bergerak ke Disember kerana terdapat ratusan lelaki, wanita, kanak-kanak dan warga emas tanpa kewarganegaraan yang masih belum dilayan.

Ramai daripada individu tanpa kewarganegaraan ini datang ke Miri dan tidur di jalanan semata-mata untuk menunggu giliran mereka di pasukan kaunter bergerak termasuk kakitangan dari Jabatan Pendaftaran Negara, Pejabat Daerah dan Pejabat Residen.

Kaunter bergerak di Dewan Suarah Miri beroperasi dari 20 hingga 30 November sahaja.

Kajan berkata beliau mengenali ramai individu tanpa kewarganegaraan ini yang berasal dari rumah panjang di Baram yang jauh.

“Mereka datang beratus-ratus setiap hari.

“Ramai yang tidur di tepi jalan berhampiran Dewan Suarah hanya untuk beratur awal pagi.

“Jelas pasukan kaunter bergerak tidak bersedia untuk berdepan jumlah besar individu tanpa sijil kelahiran dan MyKad,” katanya.

Beliau menyeru Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Penduduk Sarawak Tanpa Pengenalan Diri (PPK) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk lebih proaktif dalam mencari mereka di kawasan luar bandar Sarawak yang kekurangan sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Terdapat sebanyak 6,000 rumah panjang dan kampung terpencil di seluruh Sarawak, sebuah negeri yang seluas keseluruhan Semenanjung Malaysia.

Ramai daripada mereka masih tidak mempunyai jalan yang baik ke dunia luar.

Daripada tiga juta penduduk Sarawak, kira-kira satu juta tinggal di kawasan luar bandar. – 17 Ogos 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen