KERAJAAN Sarawak merancang untuk menjadi lebih fokus dalam perlombongan selepas menemui kira-kira RM1.25 trilion nilai emas, nadir bumi, bauksit dan logam berharga lain.
Jabatan Geologi Negeri baru-baru ini telah membuat tinjauan yang meliputi 32% daripada keseluruhan 12.4 juta hektar tanah di Sarawak dan menemui banyak mineral, kata Timbalan Premier Amar Awang Tengah Ali Hassan.
“Tinjauan pakar geologi negeri ke atas 32% keluasan tanah negeri kita sudah pun menemui galian bernilai RM1.25 trilion.
“Galian ini termasuk emas, nadir bumi, bauksit dan logam berharga lain dan terdapat potensi besar untuk lebih banyak penemuan.
“Kami merancang untuk meninjau 30% lagi negeri ini. Kami mempunyai 12.4 juta hektar tanah di Sarawak dan yakin dapat mencari lebih banyak deposit mineral baharu,” katanya.
Beliau berkata emas pada mulanya hanya ditemui di daerah Bau (selatan Sarawak).
“Kami kini telah menemui simpanan emas yang besar di daerah Sri Aman (Sarawak tengah) dan merancang untuk menggunakan teknologi Kanada untuk memanfaatkan sumber mineral di Sarawak,” katanya selepas majlis pengagihan daging korban Hari Raya dekat Kuching.
Tengah berkata beliau baru pulang dari lawatan ke Kanada untuk mengkaji kepakaran perlombongan mereka.
“Kami di Sarawak akan menggunakan teknologi mereka di sini,” katanya.
Rancangan untuk perlombongan intensif mineral di Sarawak dibuat berikutan pengumuman baru-baru ini bahawa kerajaan negeri akan membina 10 lagi empangan hidroelektrik di seluruh negeri. – 18 Jun, 2024.
Komen