PELABUHAN Bintulu yang diuruskan oleh kerajaan persekutuan di Sarawak kini kembali di bawah kawalan negeri selepas dua rang undang-undang berkaitan penyerahan diluluskan di Dewan Rakyat semalam.
Rang undang-undang tersebut adalah untuk memansuhkan kawasan di daerah Bintulu yang diisytiharkan sebagai pelabuhan persekutuan - Rang Undang-Undang Pemansuhan Kawasan di Daerah Bintulu sebagai Pelabuhan Persekutuan 2024 – dan satu rang undang-undang untuk membubarkan Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu - Rang Undang-Undang Pembubaran Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu 2024.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata selepas kelulusan sebulat suara rang undang-undang tersebut, penyerahan ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan undang-undang Sarawak, Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan 1961.
Di bawah ordinan tersebut, semua pelabuhan di Sarawak berada di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak.
Namun tarikh rasmi pengambilalihan akan ditetapkan kemudian.
Tarikh pengambilalihan rasmi akan ditentukan setelah tiga jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyelesaikan butiran pentadbiran - jawatankuasa teknikal, jawatankuasa kerja, dan jawatankuasa khas - menyelesaikan tugas mereka berkaitan sumber manusia, aset dan kewangan.
Jawatankuasa khas bertanggungjawab untuk mengawasi dan memudahkan pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 22 Mac antara Kementerian Pengangkutan persekutuan serta Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak di Kuching bagi memastikan pemindahan aset dan pengurusan berjalan lancar.
Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah.
Fadillah berkata rang undang-undang tersebut hanya akan diwartakan setelah tugas-tugas tersebut selesai,m dengan tarikh berkuat kuasa ditentukan oleh Loke.
“Penentuan tarikh berkuat kuasa akan ditetapkan selepas semua kajian, perbincangan dan rundingan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak mengenai isu-isu undang-undang, operasi pelabuhan, kewangan serta sumber manusia mencapai persetujuan kedua-dua pihak,” katanya.
Namun, beliau berkata semua ini dijangka akan dimuktamadkan tahun ini.
Douglas Uggah menyambut baik penyerahan ini sebagai “peristiwa bersejarah yang patut diraikan.”
“Dengan pencapaian yang sangat penting ini, semua pelabuhan di negeri kini menjadi milik kita,” kata Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dalam satu kenyataan.
Uggah juga menyatakan keyakinan Sarawak akan mengambil alih pelabuhan itu menjelang akhir tahun. Tuntutan Sarawak untuk mengawal Pelabuhan Bintulu bermula sejak awal tahun 2000-an.
Kerajaan negeri secara konsisten berusaha untuk mengembalikan pelabuhan yang berada di bawah kawalan persekutuan sejak ia diisytiharkan sebagai pelabuhan persekutuan pada tahun 1978 dan mula beroperasi pada tahun 1981.
Dalam beberapa tahun terakhir, khususnya di bawah kepimpinan Abang Johari Openg, negeri ini memperhebatkan usaha untuk mendapatkan semula kawalan tersebut.
Pada Januari 2023, Abang Johari menekankan pengambilalihan ini akan membolehkan Sarawak melaksanakan strategi pembangunan yang lebih terkoordinasi untuk semua pelabuhannya, meningkatkan peranan mereka dalam mempromosikan perdagangan dan konektiviti pengangkutan global.
Tuntutan ini selaras dengan konteks lebih luas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberikan hak autonomi tertentu kepada Sarawak dan Sabah.
Pelabuhan Bintulu pada tahun lalu mengendalikan jumlah tan cargo sebanyak 50.73 juta tan yang menunjukkan peningkatan 7.6% berbanding tahun sebelumnya, menjadikannya salah satu prestasi terbaik dalam sejarah pelabuhan tersebut. – 18 Julai, 2024.
Komen