TIGA pelajar masih belum ditemui selepas bot penumpang yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Kayan, Kampung Selampit, Sarawak.
Bot yang membawa 15 pelajar dan dua orang dewasa itu dipercayai dari sebuah kampung merentasi sungai ke daerah Lundu.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 pagi tadi. Setakat ini, 12 pelajar dan dua orang dewasa diselamatkan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata pasukan penyelamat dikerahkan untuk misi pencarian dan menyelamat.
“Penduduk kampung juga turut terlibat dalam operasi pencarian bersama pasukan bomba.
“Mereka yang selamat termasuk 12 pelajar, seorang penumpang dewasa dan operator bot.
“Mereka berjaya berenang dan diselamatkan oleh penduduk kampung serta dibawa ke pantai,” kata Bomba Sarawak dalam satu kenyataan akhbar.
Tiga pelajar yang masih hilang ialah Alsma Jithil (perempuan berusia 14 tahun), Helena Petrus (perempuan berusia 17 tahun) dan Vilkie Wilson (lelaki berusia 15 tahun).
Punca bot terbalik masih dalam siasatan tetapi tumpuan utama kini adalah untuk mencari pelajar-pelajar yang hilang, kata pasukan pencarian dan penyelamatan.
Daerah Lundu terletak kira-kira 100 km dari ibu negeri Kuching. – 20 Ogos, 2024.
Komen