Syarikat penerbangan perlu bayar balik pengguna untuk kelewatan, kata Anthony Loke


Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ia bertujuan menawarkan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos 2024.

SYARIKAT penerbangan perlu menawarkan pengguna pilihan bayaran balik penuh untuk penerbangan yang tertangguh selama lima jam atau lebih tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata ini terpakai kepada semua penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan.

“Ini adalah sebahagian daripada pindaan yang dibuat kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 bertujuan menawarkan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna, yang akan diwartakan dan dikuatkuasakan pada 2 September,” katanya kepada akhbar hari ini.

Untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan mesti menawarkan bayaran balik terlebih dahulu dalam cara pembayaran asal.

Syarikat penerbangan boleh menawarkan mod pembayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau pemberian kredit. Bagaimanapun, pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka mahu.

“Tempoh bayaran balik kepada pengguna adalah selama 30 hari dan ia bergantung kepada kaedah pembayaran yang telah digunakan oleh penumpang,” katanya.

Mengenai perkara lain, Anthony berkata kekurangan jurutera pesawat dan komponen mekanikal menyebabkan gangguan penerbangan di Malaysia Airlines Berhad (MAB) baru-baru ini.

Beliau berkata audit oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendedahkan 63 daripada 411 kakitangan Perkhidmatan Kejuruteraan MAB yang berkelayakan telah keluar sejak Januari.

“CAAM mendapati bahawa peletakan jawatan ini mungkin disebabkan oleh tawaran gaji yang lebih menarik daripada syarikat penyelenggaraan lain,” katanya.

Tambahnya, semua syarikat penerbangan mesti mengutamakan keselamatan dalam penyelenggaraan pesawat dan mengarahkan MAB dan Malaysia Aviation Group (MAG) memastikan semua pesawat memenuhi standard keselamatan tertinggi.

“Kami tidak boleh mengambil sebarang peluang (mengenai keselamatan). Ini telah dimaklumkan kepada kedua-dua MAB dan MAG,” katanya. – 28 Ogos 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen