Tiada kelulusan sistem bida harga E-hailing kata Loke


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya mengarahkan APAD untuk menyiasat perkara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2024.

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) tidak pernah membenarkan mana-mana penyedia perkhidmatan e-hailing menggunakan sistem pembidaan harga untuk penumpang di negara ini, menurut Anthony Loke.

Menteri pengangkutan itu berkata kementerian telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyiasat sistem yang sedang digunakan dalam kalangan pemandu e-hailing.

“APAD akan meneliti perkara ini, dan setakat yang saya tahu kami belum meluluskan mana-mana sistem sedemikian,” katanya kepada media di Melaka hari ini selepas majlis meraikan Hari Ulang Tahun Jabatan Pengangkutan Jalan Ke-78.

Loke berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan populariti aplikasi e-hailing yang menggunakan sistem pembidaan di mana pemandu e-hailing boleh menetapkan harga perjalanan mereka sebelum pelanggan membida tambang, dengan syarat kadar tambang itu dipersetujui.

Bagaimanapun, sistem ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam, kerana ia dilihat memaksa penumpang membayar harga yang lebih tinggi, sekali gus memberi manfaat lebih kepada pemandu. – 11 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen