DAP belum pilih calon tanding PRK Kuala Kubu Bharu, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilaporka media berkata parti itu belum memutuskan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan pada 11 Mei ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2024.

DAP belum memutuskan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, kata setiausaha agungnya Anthony Loke.

Bagaimanapun beberapa telah disenarai pendek, tambah beliau seperti dilapor media.

“Kita belum tentukan lagi. Calon nanti akan dibincangkan lagi,” katanya seperti dilapor media. Loke berkata demikian selepas majlis peringatan ulang tahun kematian ke-10 Karpal Singh di Petaling Jaya malam tadi.

Beliau juga dilaporkan berkata “sesiapa pun boleh dipertimbangkan” sebagai calon mewakili DAP.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK itu diadakan pada 11 Mei ini, dengan 27 April sebagai hari penamaan calon dan hari undi awal pada 7 Mei.

Semalam, DAP dilaporkan mungkin akan meletakkan calon Melayu pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Laporan Free Malaysia Today memetik sumber berkata Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor Saripah Bakar kini mendahului senarai untuk mewakili Pakatan Harapan (PH).

“Parti itu dijangka meletakkan calon Melayu setakat ini kerana peratusan pengundi Melayu yang tinggi,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, Saripah ketika dihubungi portal tersebut meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi DAP.

DUN Kuala Kubu Bharu kerusi campuran terdiri daripada 50% Melayu, 30% Cina dan 18% India.

Mendiang Lee, 58, berkhidmat selama tiga penggal sejak 2013 di DUN Kuala Kubu Bharu yang berada dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor. – 18 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen