MCA tidak berkempen untuk DAP di KKB


Ravin Palanisamy

MCA tidak akan menggesa akar umbinya di Kuala Kubu Baru (KKB) untuk berkempen atau menyokong DAP pada pilihan raya kecil (PRK) bulan depan, kata sumber parti.

Sumber itu, ahli kanan parti berkata ia susulan hubungan tidak baik antara kedua-dua parti yang diburukkan lagi oleh DAP baru-baru ini.

Selepas bertahun saling bersaing, kedua-duanya kini menjadi sekutu dalam kerajaan perpaduan.

“Pada mulanya, akar umbi mahu MCA bertanding di KKB tetapi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti daripada gabungan itu tidak akan mengambil kerusi DUN itu,” kata sumber yang enggan dikenali.

“Dan baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberitahu dalam satu rancangan podcast yang MCA adalah ‘parti tauke’ dan beliau tidak suka kami.

“Kenyataan seperti itu tidak diterima di kalangan akar umbi. Ia menyakitkan hati parti dan ahli. Jadi emosi di peringkat akar umbi tidak begitu baik,” tambah sumber itu.

Loke, yang juga menteri pengangkutan, muncul dalam podcast “Keluar Sekejap” baru-baru ini di mana beliau ditanya soalan berkaitan hubungan DAP dengan MCA.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata beliau tidak benci BN tetapi tidak menyukai MCA.

Malah beliau melabel parti komponen BN kedua terbesar itu sebagai “parti tauke”.

Sumber berkata komen itu pada masa yang begitu genting adalah tidak wajar.

“DAP dan pemimpin mereka perlu faham yang setiap undi penting jika mereka mahu memastikan kemenangan.

“Tetapi ini adalah sikap mereka dan oleh itu kami tidak akan menggesa akar umbi menyokong mereka,” tambah sumber itu.

Sebagai respons kepada kenyataan Loke, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata label “tauke parti” yang dikaitkan dengan parti itu tidak menggambarkan legasinya berkhidmat demi kepentingan rakyat sejak zaman sebelum Merdeka.

Beliau berkata MCA bermula sebagai parti yang memperjuangkan rakyat dari setiap lapisan masyarakat dan terus melakukannya pada masa kini walaupun ia ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin perniagaan.

Kerusi KKB di Selangor kosong berikutan kematian Adun DAP tiga penggalnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bertarung dengan kanser. Sebelum itu kerusi itu adalah kubu kuat MCA.

Hari mengundi akan diadakan pada pada 11 Mei manakala penamaan calon pada 27 April dan hari mengundi awal pada 7 Mei.

Kawasan KKB mempunyai pengundi campuran terdiri daripada 50% Melayu, 30% Cina dan 18% India.

Mengikut daftar pemilih, terdapat lebih 40,000 pemilih berdaftar di KKB. – 18 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen