Keutamaan DAP pujuk pengundi, bukan parti, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (tiga dari kanan) keutamaan parti itu pada PRK Kuala Kubu Baharu adalah untuk memenangi hati pengundi, bukan memujuk mana-mana parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 April, 2024.

DAP tidak akan memaksa MCA membantu jentera kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, kata Anthony Loke.

Setiausaha agung DAP itu berkata apa yang lebih penting adalah meyakinkan pengundi, bukannya memujuk mana-mana parti politik.

“Yang datang membantu kita amat hargai. Yang tidak membantu kita tak paksa. Kalau tak sanggup membantu itu hak dia.

“Saya tak perlu gaduh dengan mereka. Paling utama adalah soal pengundi sebab mereka yang akan membuat keputusan dan memilih wakil rakyat mereka, bukannya soal parti,” kata Loke dipetik Sinar Harian.

Beliau ditemui media selepas pusat penamaan calon PRK Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail berkata tidak timbul isu MCA tidak mahu membantu kempen calon kerajaan perpaduan.

Beliau dipetik Berita Harian sebagai berkata, penyertaan MCA dalam mesyuarat pilihan raya baru-baru ini menunjukkan kesediaan parti itu bekerjasama dengan kerajaan.

“Baru saja beberapa hari lepas dalam pertemuan pemimpin kerajaan perpaduan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (presiden MCA) ada duduk sebelah saya.

“Ketika saya hadir mempengerusikan Mesyuarat PH dan BN (Barisan Nasional) minggu lalu di WTC, Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low juga hadir.

“Saya anggap kehadiran mereka itu sebagai simbol kerjasama. Saya melihat dari sudut positif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Bersama Rakan Strategik Dengan Komuniti Setempat di Perumahan Awam Sri Sabah di Kuala Lumpur, hari ini.

PRK Kuala Kubu Bharu akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PH, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan calon Bebas.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kiong Hiong dari DAP meninggal dunia akibat kanser pada 21 Mac lalu. – 27 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen