BAS dari Thailand dibenarkan masuk ke Malaysia untuk membawa masuk pelancong, dengan syarat mereka memohon permit sementara daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) terlebih dahulu, lapor Bernama.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengendali bas pelancongan ini mesti memberikan maklumat lengkap, termasuk butiran pakej pelancongan, bilangan penumpang dan lokasi penginapan.
“Peraturan ini terpakai kepada semua negeri, bukan hanya negeri sempadan seperti Kedah dan Kelantan.
“Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini. Apa yang kita sekat adalah van dari Thailand kerana kita bimbang ia akan masuk ke Malaysia dan mengambil penumpang di sini,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Kelantan meminta Kementerian Pengangkutan membenarkan bas pelancong dari Thailand memasuki negeri itu sempena kempen Melawat Kelantan 2024. – 13 Mei, 2024.
Komen