KESATUAN Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) hari ini mendakwa sebuah bank di Ipoh telah menafikan keadilan terhadap seorang pekerja yang didakwa diganggu, diintai dan akhirnya digantung kerja pada 20 Ogos 2024 kerana melaporkan insiden gangguan seksual terhadapnya.
Dalam satu kenyataan, kesatuan itu mendakwa pekerja bank wanita itu berulang kali diganggu dan dibuli, termasuk secara seksual oleh pegawai atasan lelakinya sejak 2021 dan walaupun banyak aduan, tiada tindakan diambil oleh bank berkenaan.
“Tidak tahan dengan gangguan dan ugutan, mangsa membuat laporan kepada kesatuan sekerja dan laporan polis dibuat pada 16 Ogos 2024, berhubung dakwaan gangguan seksual dan buli oleh atasannya.
“Awal hari yang sama, pihak bank telah menghantar surat kepada mangsa yang mengarahkannya menghadiri temu duga siasatan pada 20 Ogos 2024, berhubung dakwaannya.
“Pada 19 Ogos 2024, mangsa telah memberi maklum balas kepada bank menyatakan dia telah memfailkan laporan gangguan seksual pada 6 Oktober 2021 kepada bank, namun tiada tindakan konkrit diambil oleh pihak bank terhadap pelaku sehingga kini dan dia terus diganggu,” kata Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon.
Beliau berkata mangsa juga mengemukakan empat aduan dan berharap ia diteruskan dengan sewajarnya, dengan penyertaan kesatuan sekerja dan dia tidak mahu memintas proses aduan dan menghadiri temu duga siasatan.
Bagaimanapun, beliau berkata pada 20 Ogos 2024, mangsa menerima surat daripada bank yang menyatakan keengganannya untuk menghadiri temu duga siasatan adalah “sama seperti tindakan menderhaka dan menentang pihak berkuasa secara sengaja”.
Bank memutuskan untuk menggantungnya sehingga diberitahu kelak, menghalangnya daripada memasuki premis kerja tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pihak atasan. Dia akan diletakkan pada separuh gaji untuk dua minggu pertama, selepas itu dia akan dikembalikan kepada gaji penuh, tambahnya.
“Mangsa yang mengalami gangguan seksual telah digantung kerja kerana dia mahu pihak bank meneruskan perkara itu dengan kesatuannya (NUBE) kerana ia telah dibincangkan antara kesatuan peringkat negeri dan pihak pengurusan dan tidak dapat diselesaikan, dan kini berada di peringkat nasional.
“Daripada menangani perkara itu dengan kesatuan, bank, dalam percubaan terdesak untuk menakut-nakutkannya, menjadikan dia sasaran penyiasatan. Ugutan ini dilakukan untuk menghalang ahli itu daripada mendapatkan perwakilan kesatuan,” dakwa Solomon.
Pihak atasan mangsa didakwa menghantar mesej meminta dia menemaninya ‘teman tido kt indra’ dan turut menghantar pelekat lucah seorang lelaki berkain sarung dengan bahagian sulitnya digelapkan.
Pihak atasan juga didakwa menghantar gambar badan separuh bogel dan gambar lucah yang lain kepada mangsa.
“Walaupun bertubi-tubi mengadu kepada pihak atasan bank, tiada tindakan tegas diambil dan pihak atasan mangsa hanya diminta menghentikan perbuatannya.
“Wakil kesatuan kita dari Ipoh telah berjumpa dengan pihak terbabit dan pihak pengurusan bank, dan menasihatkan pihak atasan dikeluarkan daripada bank berkenaan.
“Bagaimanapun, tiada tindakan diambil dan dalam keadaan drastik, pihak bank kini menghukum mangsa, manakala tiada tindakan diambil terhadap pelaku,” tambah Solomon. – 22 Ogos, 2024.
Komen