Laporan lengkap RCI Batu Puteh dibentangkan kepada Agong


Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Md Raus Sharif yang merupakan Pengerusi RCI Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan hari ini. – Gambar Facebook, 12 Ogos, 2024.

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) yang ditugaskan untuk Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan membentangkan laporan lengkap kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

Satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyatakan bahawa Pengerusi RCI Md Raus Sharif Bersama ahli suruhanjaya membentangkan laporan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Pada Februari Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Sultan Ibrahim memberi persetujuan untuk penubuhan suruhanjaya tersebut.

Seterusnya RCI ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Pada 23 Mei 2008 Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak kurang dari 1km jauhnya adalah milik Malaysia.

ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan yang terletak kira-kira 4km dari Batu Puteh akan ditentukan berdasarkan penetapan perairan wilayah.

Pada 2 Februari 2017 Malaysia memfailkan permohonan untuk menyemak keputusan ICJ.

Namun pada Mei 2018 kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan tersebut dua minggu sebelum ia dijadualkan untuk didengar pada 11 Jun.

Pada 27 Februari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata tujuan penubuhan RCI adalah untuk mencari penyelesaian dan memperbaiki isu-isu berkaitan kedaulatan negara, bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Azalina menekankan rakyat Malaysia terutamanya rakyat Johor berhak mendapat penjelasan yang jelas mengenai sebab-sebab dan faktor-faktor di sebalik keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan permintaan tafsiran di ICJ mengenai kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Pada 12 Jun, Dr Mahathir memberikan keterangan semasa prosiding RCI yang tertutup. – 12 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen