BARISAN Nasional (BN) akan memberi tumpuan kepada isu masyarakat setempat dalam kempennya bagi pilihan raya kecil DUN Nenggiri, kata Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi BN itu berkata jentera BN dengan bantuan Pakatan Harapan (PH) akan menyasarkan kesemua 20 pusat daerah mengundi untuk melibatkan diri dengan masyarakat setempat.
Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil itu.
“Sama ada pengundi dari kampung tradisi, masyarakat Orang Asli, Lembaga Kemajuan Selatan Kelantan (Kesedar), atau Felda, kita akan lakukan sesuatu yang cemerlang pada PRK ini.
“... jika ada isu nasional, ia akan dijelaskan oleh jentera parti di setiap peringkat,” kata presiden Umno itu kepada media selepas proses penamaan calon di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang pagi tadi.
PRK itu adalah pertembungan langsung antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang mewakili kerajaan perpaduan, dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.
Kedua-dua calon itu akan berkempen selama dua minggu akan datang sebelum hari pengundian pada 17 Ogos.
PRK Nenggiri diadakan selepas Speaker Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi yang disandang Mohd Azizi Abu Naim itu kosong.
Daftar pemilih bagi kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,245 pemilih berdaftar.
Ahmad Zahid berkata beliau yakin calon BN dapat memenuhi harapan dan berkhidmat kepada pengundi di Nenggiri.
“Kita sedia maklum pengundi bawah 40 tahun adalah majoriti di Nenggiri, dan insya-Allah, beliau (Azmawi) bukan sahaja boleh mewakili pengundi muda di kawasan itu, malah generasi muda di Gua Musang, dan Kelantan secara amnya.
“Insya-Allah, di bawah pimpinan Ku Li, kami yakin penyokong BN dan Umno akan terus menyokong kami,” katanya. – 3 Ogos, 2024.
Komen