STATUS enam ahli Parlimen Bersatu akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata beliau percaya status enam wakil rakyat itu akan ditentukan berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam undang-undang Akta Antilompat Parti 2022 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita serahkan (perkara ini) kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat dan tunggu persidangan Parlimen pada (hujung) bulan ini,” katanya dipetik pemberita hari ini.
Pada 17 Mei Bersatu memberi tempoh masa 14 hari kepada enam ahli Parlimen yang secara individu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar untuk menyatakan pendirian mereka kepada majlis tertingginya.
Keahlian mereka tergugur kerana melanggar arahan parti untuk menandatangani surat terus setia kepada parti.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Semalam, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau belum menerima notis rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kerusi kosong melibatkan enam ahli Parlimen Bersatu yang dilucutkan keahlian parti mereka. – 8 Jun, 2024.
Komen