KERUGIAN RM286.3 juta yang ditanggung oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) berpunca daripada pelaburan yang tidak baik, menurut Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu berkata beberapa aset yang dibeli Mara Inc di luar negara diperoleh pada harga melebihi nilai pasaran.
“Kerugian di Mara Inc telah terkumpul sejak 2012, tempoh di mana saya tidak bertanggungjawab terhadap Mara.
“Kami tidak mahu menuding jari, tetapi kerugian itu disebabkan oleh pelaburan yang sesat dan berlebihan.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan perkara ini, dan kami akan berusaha untuk menangani kerugian ini.
“Kami akan fokus mengurus urus niaga membabitkan empat aset yang dibeli melebihi harga pasaran di Australia dan England.
“Walaupun untuk membetulkan isu ini mungkin mengambil masa, kami akan memastikan tiada pecah amanah atau salah urus membabitkan anak syarikat Mara,” Zahid dipetik sebagai berkata oleh The New Straits Times hari ini.
Beliau berikrar untuk mencari penyelesaian bagi mengelakkan kejadian serupa.
Pada hari Rabu, ‘Laporan Ketua Audit Negara 2/2024’ mendedahkan bahawa Mara Inc telah mengalami kerugian sebanyak RM286.3 juta disebabkan oleh operasi yang tidak cekap.
Kumpulan itu melaporkan defisit ekuiti sebanyak RM115.73 juta, bersama liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta.
Di samping itu, pelaburan Mara Inc dalam lima anak syarikat mengalami kemerosotan yang besar sebanyak RM87.18 juta, mewakili penurunan 54.8% dalam nilai terkumpul. – 6 Julai, 2024.
Komen