Tiada harapan bekerjasama dengan PAS selagi Hadi jadi presiden, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan tidak bekerjasama dengan PAS dibuat berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2024.

UMNO hari ini berkata mereka tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang masih memegang jawatan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN), lapor Sinar Harian.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan ini dibuat berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini bekerjasama dengan PAS.

Beliau mendakwa PAS mengkhianati mereka dalam pelbagai keputusan bersama.

“PAS berbohong dari dulu hingga sekarang. Saya adalah saksi hidup kepada perbincangan empat mata dengan Hadi.

“Apabila kami bertemu muka, kami bersetuju, tetapi keesokan harinya dia berubah fikiran dan mengatakan dia tidak setuju,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak.

“Selagi dia (Hadi) menjadi presiden, tiada harapan untuk bekerjasama dengan parti itu (PAS),” tambah Zahid.

Zahid berkata semua parti dalam Pakatan Harapan ikhlas bekerjasama dalam kerja politik dan pentadbiran.

Ini dapat dilihat dalam kerjasama semasa beberapa pilihan raya kecil, katanya.

“PH mahu menteri besar Perak dari BN walaupun kami hanya memegang sembilan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.

“Keadaan yang sama juga berlaku di Pahang, di mana PH bersedia menerima menteri besar dari BN,” tambah timbalan perdana menteri. – 8 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen