Zahid minta Isham datang mesyuarat MKT Umno


Zahid mahu PAS berhenti mimpi di siang hari. – Gambar Facebook, 6 Disember, 2023.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mahu Isham Jalil hadir ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam ini untuk menyuarakan pandangannya mengenai kekalahan parti dalam pilihan raya kecil Kemaman hujung minggu lalu.

Ahmad Zahid berharap Isham ada keberanian untuk datang menyampaikan pandangannya selepas tiga kali sudah tidak hadir ke mesyuarat.

“Kalau (Isham) ada pendapat yang lain beliau boleh suarakan. Setakat ini beliau sudah tiga kali tidak datang mesyuarat MKT.

“Mudah-mudahan beliau mempunyai keberanian untuk datang malam ini untuk menyuarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita mahu jalin kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Isham yang mendakwa Barisan Nasional (BN) kalah di Kemaman kerana Umno menjalin kerjasama dengan DAP dan pemimpin Umno terlalu mempertahankan DAP.

Sementara itu, dalam reaksi segeranya Isham berkata beliau kekal dengan pendiriannya memprotes keputusan Ahmad Zahid bekerjasama dalam pilihan raya dengan DAP dan kerana itu tidak akan hadir ke mesyuarat MKT Umno malam ini.

“Saya sudah kata sebelum ini yang saya kekal dengan pendirian saya untuk protes dan selagi dia membuat keputusan untuk pergi pilihan raya dengan DAP, saya akan protes dan tidak akan hadir mesyuarat yang dia pengerusikan dan dia veto keputusannya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Isham berkata beliau sudah dua penggal dalam MKT Umno dan “sudah boleh baca” apa yang akan Ahmad Zahid lakukan sebagai presiden.

“Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya,” katanya.

Isham berharap Ahmad Zahid sedar dan menerima hakikat bahawa orang Melayu menolak Umno kerana keputusannya untuk bersama dengan DAP membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Jika keadaan ini berterusan, UMNO akan hancur dalam beberapa tahun lagi oleh kerana keputusan ini,” tambahnya.

Pada Sabtu lepas, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Kemaman apabila mengalahkan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan majoriti lebih besar berbanding yang dimenangi oleh gabungan itu pada PRU15.

Naib Presiden PAS menang dengan majoriti 37,220 undi, lebih 10,000 undi berbanding yang dimenangi calon PAS Che Alias Hamid setahun yang lalu. – Bernama, 6 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen