PAS tidak akan dapat membentuk kerajaan persekutuan sendiri kerana parti itu mempunyai populariti yang terhad, kata Dr Mahathir Mohamad.
Dalam wawancara dengan Free Malaysia Today, bekas perdana menteri itu berkata pengaruh PAS di Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak cukup untuk menghantar mereka ke Putrajaya.
“PAS telah memenangi lebih daripada 40 kerusi parlimen pada PRU 2022 tetapi itu tidak mencukupi untuk menjadi kerajaan”.
“Mereka mesti bekerjasama dengan orang lain. Jika PAS mahu menjadi kerajaan, ia perlu mencari kira-kira 80 kerusi lagi untuk membentuk 112 (untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat).
“80 kerusi ini akan datang dari pantai barat (Semenanjung) dan orang pantai barat bukan penyokong PAS,” katanya.
“Jadi PAS dengan sendirinya tidak boleh memerintah negara. Ia perlu bekerjasama dengan bukan Melayu dan Melayu yang bukan ahli (atau penyokong) PAS.”
Di Parlimen sekarang, PAS (43 kerusi) dan Bersatu (25 kerusi) adalah pembangkang, manakala kerajaan dibentuk oleh gabungan parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Malaysia Timur yang menguasai 153 kerusi.
Mahathir turut ditanya mengenai Umno, parti yang dipimpinnya selama 22 tahun sehingga 2003.
Beliau sekali lagi menyalahkan Najib Razak, berkata parti itu telah dirosakkan oleh bekas ahli Parlimen Pekan itu dan mereka yang masih berada dalam parti berada di sana “kerana wang”.
“Mereka mendapati jika anda menjadi wakil rakyat, anda boleh memperoleh pendapatan tetapi bukan itu sahaja, anda mendapat peluang perniagaan.
“Kami dapati mereka menjana wang untuk diri mereka sendiri, bukan mentadbir kerajaan,” kata Mahathir.
Najib, yang menjadi presiden Umno pada 2009, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB. Hukuman itu telah dikurangkan separuh kepada enam tahun. – 29 Jun, 2024.
Komen