BlackRock ada aset bernilai RM27.5 bilion, kata Tengku Zafrul


Blackrock ialah pemegang saham pelbagai syarikat tersenarai dunia, dana-dana berdaulat Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Bahrain dan Indonesia. – Gambar Wikipedia, 27 Jun, 2024

FIRMA kontroversi Amerika Syarikat (AS) BlackRock melabur di Malaysia sejak 1990-an dan kini memiliki aset bernilai RM27.5 bilion tempatan, kata Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memberitahu Parlimen sekiranya pelaburan BlackRock dari Malaysia ditarik balik, ia akan memberi implikasi dan kesan negatif terhadap usaha merealisasikan agenda pelaburan negara.

Beliau berkata BlackRock melabur di Malaysia sejak 1990-an.

Tengku Zafrul memberi jaminan kerajaan tidak mempunyai urusan langsung dengan syarikat itu dan BlackRock tidak mempunyai sebarang pengaruh ke atas dasar negara.

Tambahnya Blackrock ialah pemegang saham pelbagai syarikat tersenarai dunia, dana-dana berdaulat Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Bahrain dan Indonesia.

Beliau memberitahu ahli Parlimen, BlackRock yang merupakan pengurus aset terbesar di dunia dengan aset di bawah pengurusan bernilai AS$10.5 trilion setakat 31 Mac 2024 juga memegang pelaburan ekuiti dalam 100 syarikat tersenarai awam di Malaysia setakat Mei tahun ini.

“Ini merangkumi sektor industri, dengan tiga entiti terbesar merupakan institusi perbankan di negara ini. Secara keseluruhan mereka memiliki aset bernilai sekitar RM27.5 bilion di Malaysia,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahukan butiran di mana BlackRock membuat pelaburan di Malaysia dan potensi implikasi ekonomi jika pelaburan lama ini ditarik balik.

BlackRock menjadi sasaran gesaan boikot di negara itu kerana pegangannya yang besar dalam pengeluar senjata yang dikatakan mendapat keuntungan secara langsung dari serangan Israel ke atas Gaza yang menurut mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Memberi pecahan pelaburan BlackRock, Tengku Zafrul berkata RM20.5 bilion berada dalam pasaran saham Bursa Malaysia dan sekitar RM7 bilion dalam bon kerajaan dan korporat.

Beliau berkata antara pelaburan BlackRock dalam pasaran bon terbitan kerajaan termasuk Malaysia Sukuk Global Bhd; Bank Eksport-Import Malaysia Bhd; Malaysia Wakala Sukuk Bhd; Petroliam Nasional Bhd; dan Malaysia Sovereign Sukuk Bhd.

Tengku Zafrul berkata BlackRock juga merupakan pemegang saham beberapa syarikat multinasional besar yang beroperasi di Malaysia termasuk Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments.

“Syarikat seperti Microsoft, Boeing, Intel, dan Texas Instruments yang memiliki saham milik BlackRock menyumbang kepada pembangunan industri dan negeri melalui projek pelaburan yang dijalankan di Malaysia.

“Ini termasuk Intel yang menyumbang kepada pertumbuhan subsektor semikonduktor di Pulau Pinang; Infineon di Melaka dan Kedah; Texas Instruments dalam industri elektrik dan elektronik di Melaka dan Kuala Lumpur (KL); dan anak syarikat Boeing, Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd, dalam industri aeroangkasa di Kedah.

Microsoft juga baru-baru ini mengumumkan pelaburan yang akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur pusat data di lokasi baharu yang akan ditentukan kemudian. – 27 Jun, 2024



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen