Malaysia mampu jadi hab automotif Asean, kata menteri


Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-42 Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar Facebook, 25 November, 2023.

SEKTOR automotif adalah kuasa ekonomi strategik dan dedikasi dalam membangunkan sektor ini penting kerana ia berpotensi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif di rantau Asean.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz melalui ucapan pada mesyuarat agung tahunan ke-42 Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berkata, komitmen persatuan itu dalam membentuk ekosistem pertumbuhan yang bernilai tinggi amat dihargai.

“Dalam dunia yang sedang berubah menuju amalan yang lebih lestari, peluang untuk pertumbuhan berkembang dengan pesat terutamanya, bidang tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan perkhidmatan sokongan bagi kenderaan elektrik (EV).

“Komitmen Pekema terhadap inovasi dan kelestarian sudah terbukti melalui tindakan proaktifnya dalam memajukan mobiliti elektrik,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata kerajaan menyambut baik usaha Pekema yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat EV dari China, Dongfeng Motor dalam membawa masuk model EV pertama dengan pemanduan di sebelah kanan pada pertengahan tahun depan, selain bekerjasama dengan dua lagi syarikat EV China.

Katanya, bagi kenderaan elektrik, syarikat Permit yang Diluluskan (AP) Terbuka boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan permintaan dan jualan ke atas EV di Malaysia.

Berdasarkan statistik MITI, bilangan EV yang diluluskan AP oleh MITI dan diimport oleh syarikat AP Terbuka sejak tahun 2020 sehingga Oktober 2023 adalah sebanyak 729 unit.

Angka ini meliputi 533 unit EV baharu serta 196 unit EV terpakai dan ia hanyalah 0.23% daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang diimport oleh syarikat AP Terbuka di sepanjang tempoh itu.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menyeru ahli Pekema untuk mengambil peluang daripada penambahbaikan garis panduan pelantikan syarikat AP baharu bagi EV.

Kapasiti enjin setara melebihi 1,800cc untuk kereta dan melebihi 250cc bagi motosikal diberi pengecualian sementara untuk kenderaan EV yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember 2025.

“Jadi, sebenarnya masih banyak ruang untuk ahli Pekema meningkatkan penerimaan kenderaan EV di negara kita,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai perbincangan mengenai AP sering kali menjadi tumpuan media, beliau berkata kerajaan sedar terdapat perbezaan pendapat mengenai keperluan AP.

“Walaupun sesetengah pihak berpendapat penghapusan keperluan AP akan menggalakkan persaingan sihat, kita juga harus mengambil kira sokongan kepada pemain industri automotif bumiputera,” katanya.

Oleh itu dalam usaha untuk menggalakkan pertumbuhan industri automotif secara inklusif, kerajaan mendorong usahawan bumiputera terbabit dalam rangkaian pembekalan automotif.

“Saya ingin menekankan kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menghapuskan sistem AP kenderaan CBU dan pengecualian duti import kenderaan elektrik pada masa ini.

“Sebarang perubahan dasar sudah tentu akan mengambil kira pandangan pemegang taruh bagi memastikan kepentingan semua pihak terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyatakan kerajaan sedang merancang menganjurkan kongres ekonomi bumiputera pada Januari tahun depan, yang mana matlamatnya adalah untuk melakarkan laluan baharu merangkumi agenda bumiputera, yang lebih adil, lebih saksama dan lebih inklusif.

“Usaha ini bertujuan memperkasakan lebih ramai usahawan dan perniagaan bumiputera kecil hingga sederhana.

“Selaras dengan ini, pemegang AP harus mempertimbangkan untuk menggunakan program pembiayaan sedia ada yang direka bagi usahawan automotif bumiputera mengembangkan dan mempelbagaikan perniagaan mereka,” katanya. – Bernama, 25 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen