MALAYSIA dan Arab Saudi pada Sabtu bersetuju membentuk satu jawatankuasa peringkat menteri bagi membawa jalinan kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi kedua-dua negara ke tahap baharu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam pertemuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid Abdullah Alkassabi di Riyadh yang turut dihadirinya.
Turut hadir Menteri Luar, Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi, Wan Zaidi Wan Abdullah.
“Jawatankuasa ini akan memantau perkembangan perdagangan, pelaburan dan ekonomi antara kedua-negara serta prospek kerjasama pada masa akan datang.
“Ini membuktikan keseriusan dan komitmen Malaysia dan Arab Saudi untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama perdagangan dan pelaburan ke tahap yang baharu,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan perdana menteri di Arab Saudi.
Tengku Zafrul berkata, pada masa ini Malaysia adalah rakan dagang kelapan terbesar bagi Arab Saudi.
“(Malaysia) menjadi antara 10 negara teratas perdagangan dengan Arab Saudi, membuktikan negara ini memilih untuk mengutamakan usahasama dan kerjasama mengikut sektor dengan Malaysia,” katanya.
Arab Saudi adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala mencatatkan AS$10.26 bilion pada 2022, meningkat 159.2% daripada 2021 (AS$1=RM4.77).
Antara projek utama Arab Saudi di Malaysia adalah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.
Fortune Global 500 pada 2021 meletakkan Saudi Aramco di tempat keenam teratas sebagai syarikat paling untung di dunia, dengan perolehan berjumlah AS$105 bilion. – Bernama, 21 Oktober, 2023.
Komen