Misi pelaburan ke AS raih pelaburan RM8.33 bilion, kata menteri


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata syarikat itu termasuk Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company Ford, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research. – Gambar Facebook, 18 November, 2023.

MISI perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat (AS) yang dianjurkan sebelum bermulanya mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) berjaya meraih secara kumulatif sekurang-kurangnya RM8.33 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Dalam sidang media bersama media Malaysia, beliau berkata syarikat itu termasuk Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company Ford, Boeing, Amazon Web Services, Enovix dan Lam Research.

“Di samping misi pelaburan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga mengatur perjumpaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan syarikat teknologi gergasi di negara ini seperti Google, Enovix Cooperation, Microsoft, TikTok dan TPG,” katanya.

Mengulas penyertaan beliau dalam Mesyuarat Menteri-menteri Apec ke-34, Tengku Zafrul berkata aspek yang ditekankan adalah meningkatkan integrasi serantau menerusi pengukuhan kerjasama dalam kalangan anggota Apec terutamanya dalam sektor ekonomi.

Turut diberikan perhatian adalah kepentingan untuk memastikan kestabilan serantau dan menggalakkan semua ekonomi Apec menggandakan usaha untuk merealisasikan Wawasan Putrajaya 2040 dalam kerumitan geopolitik dan geoekonomi semasa.

“Paling penting, kehadiran kami dan pasukan perunding masing-masing di sini adalah untuk memastikan kepentingan Malaysia dalam platform antarabangsa ini tetap terjamin,” katanya. – Bernama, 18 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen