Ringgit lemah beri impak kepada kedudukan daya saing Malaysia, kata Tengku Zafrul


Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata penurunan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 adalah disebabkan kelemahan ringgit tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2024.

PENURUNAN Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 adalah disebabkan kelemahan ringgit tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata berdasarkan kajian awal kementerian terhadap laporan itu punca utama penurunan indeks negara daripada tempat ke-27 pada 2023 kepada tempat ke-34 pada 2024 adalah bergantung kepada data 2023 untuk mengukur daya saing negara.

““Ia (laporan) berdasarkan data tahun lepas 2023 berbanding dengan tahun 2022, jadi ketinggalan satu tahun di situ. Faktor yang mempunyai kesan paling ketara ialah kestabilan ringgit, seperti yang ditonjolkan dalam ranking,” katanya selepas merasmikan the Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution di Bursa Malaysia hari ini seperti yang dilaporkan Bernama.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata kelemahan ringgit tahun lepas mempunyai pelbagai implikasi termasuk penilaian pelaburan, produktiviti dan kecekapan yang berkait rapat dengan nilai mata wang itu seterusnya mencerminkan kebimbangan mengenai kestabilan ekonomi.

“Seperti yang diketahui ringgit terjejas pada 2023 dan itu memberi kesan kepada daya saing kita, tetapi kini ringgit telah mengukuh dan jika momentum yang sama berterusan kedudukan itu sepatutnya bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata sumbangan eksport sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang rendah pada tahun lepas turut menjejaskan kedudukan negara.

Menteri itu berkata eksport produk pembuatan mewah, terutamanya E&E menurun tahun lepas yang menjejaskan wajarannya.

“Ini adalah seiring dengan kelembapan perdagangan di seluruh dunia, tetapi tahun ini kita dapat melihat sektor itu bertambah baik.

“Kini, jumlah dagangan telah meningkat dengan ketara, kira-kira lebih 10 peratus pada Mei 2024,” katanya.

Malaysia turun tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, selepas berada di kedudukan ke-27 dalam indeks itu tahun lepas.

Di rantau Asia Pasifik, Malaysia turun empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-10 daripada 14 negara. – 21 Jun 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen