Perintah tambahan Najib dimaklumkan oleh Tengku Zafrul, kata MB Pahang


Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau dimaklumkan mengenai titah adendum pada 30 Januari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mei, 2024.

MENTERI Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai perintah tambahan diraja untuk membenarkan Najib Razak menjalani tahanan rumah.

Beliau berkata demikian dalam afidavitnya bagi menyokong permohonan Najib untuk dibenarkan menjalani tahanan rumah dan bukannya di penjara, kata Malaysiakini.

Afidavit itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas. Mahkamah menetapkan 5 Jun untuk memutuskan sama ada Najib boleh mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman itu.

Wan Rosdy yang juga naib presiden Umno berkata beliau dimaklumkan mengenai titah adendum oleh Tengku Zafrul pada 30 Januari.

“Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI telah pun keluarkan keputusan permohonan pengampunan (keputusan pertama) iaitu mengurangkan perintah penjara sebanyak 50% dan hukuman denda pula kepada RM50 juta sahaja.

“Kedua dengan terbit keputusan pertama ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI mengeluarkan satu lagi perintah (perintah adendum) yang memerintahkan supaya pemohon menjalani dengan serta merta hukuman penjaranya di dalam keadaan di rumah kediaman pemohon dan bukan di mana-mana penjara,” kata Wan Rosdy dalam afidavitnya.

Beliau juga berkata perkara itu dibincangkan dengan beberapa pemimpin Umno lain di rumah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kajang, di mana presiden Umno itu berkata beliau juga diberitahu perkara yang sama oleh Zafrul.

“Beliau (Zahid) juga menyatakan telah membaca perintah adendum tersebut dari Yang Berhormat Senator Zafrul,” katanya.

Sebelum ini Zahid juga mengesahkan afidavit pada 9 April menyokong tawaran Najib untuk tahanan rumah.

Zahid berkata Zafrul menunjukkan dokumen itu pada telefon bimbitnya di rumahnya pada 30 Januari lalu.

Beliau berkata perintah itu mempunyai meterai dan tandatangan Agong ketika itu.

Awal bulan ini, Zafrul gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk campur tangan dalam permohonan Najib untuk tahanan rumah.

Menteri itu memohon untuk dibenarkan memfailkan afidavit untuk “membetulkan kesilapan fakta” dalam afidavit Zahid bagi menyokong semakan kehakiman Najib.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dilaporkan berkata mahkamah menolak permohonan itu atas alasan tiada peruntukan undang-undang untuk seseorang yang bukan pihak dalam prosiding semakan kehakiman memfailkan afidavit.

Malaysiakini hari ini juga melaporkan Jabatan Peguam Negara membantah afidavit Wan Rosdy kerana ia difailkan terlalu lewat.

Peguam responden berhujah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak membenarkan pemfailan lewat sedemikian terutamanya apabila mahkamah sivil mendengar hujahan lisan pihak-pihak terlibat pada 17 April dan menetapkan 5 Jun untuk memutuskan sama ada Najib boleh mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman itu.

Jika mahkamah sivil memberikan kebenaran maka ia akan menetapkan tarikh kemudian untuk mendengar hujahan lisan pihak-pihak mengenai merit tindakan undang-undang.

Najib memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan perintah tambahan didakwa oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang dikaitkan dengan pengampunan separa yang mengurangkan separuh hukuman penjaranya kepada enam tahun dan mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 1 April ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Menurut salinan bidaan semakan kehakiman, Najib mendakwa Agong mengeluarkan adendum pada 29 Januari, hari yang sama dengan perintah pengampunan separa utama. – 27 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen